TEHRAN: Iran menyalahkan sekatan laut Amerika Syarikat (AS) terhadap pelabuhan-pelabuhannya sebagai punca kebuntuan rundingan diplomatik dan penutupan berterusan Selat Hormuz, sambil menegaskan bahawa Tehran tidak akan tunduk kepada “tekanan” Washington.
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, berkata pada Rabu bahawa gencatan senjata penuh antara Iran dan AS tidak mungkin dicapai selagi sekatan laut AS berterusan.
Dalam kenyataan pertamanya sejak Presiden AS Donald Trump mengumumkan lanjutan gencatan senjata, Ghalibaf berkata pembukaan semula Selat Hormuz mustahil berikutan “pelanggaran terang-terangan” terhadap perjanjian itu.
“Sesuatu gencatan senjata hanya bermakna jika sekatan maritim dan penahanan ekonomi dunia dihentikan, serta tindakan agresif Israel ditamatkan,” katanya melalui media sosial.
Beliau menambah bahawa AS dan Israel gagal mencapai matlamat mereka melalui kekerasan, dan tidak akan berjaya melalui paksaan.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, turut mengulangi pendirian tersebut, dengan menekankan bahawa diplomasi, bukannya tekanan dan ancaman, adalah kunci kepada rundingan damai.
Beliau berkata pelanggaran komitmen dan sekatan ekonomi menjadi halangan utama kepada rundingan yang tulen.
Gencatan senjata dilaporkan masih bertahan setakat Rabu, meskipun kedua-dua pihak memberi amaran kesediaan untuk kembali berperang.
Lanjutan gencatan dicapai selepas Iran memboikot rundingan di Pakistan sebagai bantahan terhadap sekatan AS.
White House pula menyatakan Trump berpuas hati dengan sekatan tersebut dan menganggapnya sebagai tekanan penting terhadap Iran.
Dengan sekatan masih berkuat kuasa dan tarikh baharu rundingan belum ditetapkan, penganalisis memberi amaran konflik boleh tercetus semula pada bila-bila masa, meletakkan rantau itu dalam keadaan “tiada perang, tiada damai”.