Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Operasi dramatik selamatkan juruterbang AS di kawasan terpencil Iran

An image released on April 5, 2026, and obtained from social media appears to show wreckage of an American aircraft and a helicopter rotor in Isfahan, Iran, which forensic imagery analyst William Goodhind said is consistent with a U.S. MC‑130J or HC‑130J, amid the U.S.-Israeli conflict with Iran. Social Media/via REUTERS. THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. MANDATORY CREDIT. NO RESALES. NO ARCHIVES. VERIFICATION: - Reuters was able to confirm the location from the shape and position of the mounta
Imej yang dikeluarkan pada 5 April 2026 dan diperoleh daripada media sosial dilihat menunjukkan serpihan sebuah pesawat AS serta bilah rotor helikopter di Isfahan, Iran. - Foto REUTERS

TENTERA Amerika Syarikat (AS) berjaya menyelamatkan seorang anggota udara yang hilang dalam satu operasi berisiko tinggi pada waktu malam selepas pesawat pejuang F‑15E miliknya ditembak jatuh di kawasan pergunungan terpencil di Iran, menurut pegawai AS.

Misi menyelamat itu, yang disifatkan sebagai amat kompleks dan berbahaya, melibatkan ratusan anggota pasukan khas, puluhan pesawat pejuang dan helikopter, serta kerjasama Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Presiden AS, Donald Trump, mengesahkan kejayaan operasi berkenaan menerusi satu hantaran di media sosial pada Ahad, dengan menyatakan bahawa seorang “anak kapal F‑15 yang cedera parah tetapi sangat berani” telah diselamatkan dari kawasan pergunungan di dalam wilayah Iran.


Pesawat Ditembak Jatuh

Insiden itu bermula pada Jumaat apabila sebuah pesawat F‑15E Strike Eagle yang membawa seorang juruterbang dan seorang pegawai sistem senjata dilaporkan ditembak jatuh di selatan Iran.

Ia merupakan kejadian pertama pesawat pejuang AS ditembak oleh musuh dalam tempoh lebih dua dekad.

Kedua-dua kru berjaya melenting keluar dari pesawat.

Image
US airman rescue map

Juruterbang diselamatkan pada hari yang sama, namun rakan kru beliau hilang dan mencetuskan perlumbaan masa untuk mengesan dan mengeluarkannya dari wilayah musuh.

Pihak berkuasa Iran dilaporkan mahu menangkap anggota tersebut hidup-hidup dan menawarkan ganjaran kira-kira AS$66,000 kepada sesiapa yang dapat menemuinya.

Beberapa rakaman video di media sosial, yang tidak dapat disahkan, menunjukkan orang awam bersenjata turut terbabit mencarinya.


Bertahan di Kawasan Pergunungan

Pegawai AS berkata, setelah berada di darat, anggota udara itu hanya mempunyai sepucuk pistol untuk mempertahankan diri.

Beliau dipercayai menggunakan latihan kelangsungan hidup yang diterima, termasuk mengaktifkan isyarat kecemasan secara terhad, mencari kawasan tinggi, menyembunyikan diri dan menunggu bantuan.

Menurut laporan media AS, beliau bersembunyi di celah rekahan gunung dan mengehadkan penggunaan suar isyarat kerana bimbang ia dapat dikesan oleh pasukan Iran.

CIA memainkan peranan penting dalam operasi itu dengan mengesan lokasi tepat anggota berkenaan dan menyampaikan maklumat tersebut kepada Pentagon.

Trump berkata lokasi tersebut dipantau “24 jam sehari” ketika pelan menyelamat dirangka.


Serangan dan Gangguan

Semasa pasukan khas AS menghampiri lokasi sasaran, serangan udara dan tembakan dilaporkan digunakan bagi menghalang tentera Iran daripada mendekati kawasan tersebut.

Media AS turut melaporkan beberapa pesawat pengangkut yang digunakan untuk membawa keluar pasukan penyelamat tidak dapat berlepas dari sebuah pangkalan terpencil dan akhirnya dimusnahkan bagi mengelak daripada jatuh ke tangan musuh.

Rakaman yang disahkan menunjukkan sisa pesawat terbakar di kawasan pergunungan kira-kira 50 kilometer tenggara Isfahan.

Sebaliknya, Iran mendakwa operasi itu gagal, dengan mendakwa dua pesawat pengangkut C‑130 dan dua helikopter Black Hawk AS dimusnahkan, serta sebuah dron AS ditembak jatuh semasa misi pencarian.

Versi kejadian itu tidak dapat disahkan secara bebas.


Diselamatkan dan Diterbangkan ke Kuwait

Menjelang tengah malam waktu AS pada Ahad, operasi itu dilaporkan selesai dan anggota udara tersebut diterbangkan ke Kuwait untuk rawatan perubatan.

Trump berkata mangsa mengalami kecederaan serius tetapi dijangka pulih.

Identiti dan lokasi sebenar penyelamatan tidak didedahkan atas faktor keselamatan.

Bekas pegawai kanan tentera AS, Laksamana bersara William Fallon, berkata faktor waktu malam mungkin memberi kelebihan kepada misi itu kerana pasukan AS terlatih beroperasi dalam keadaan gelap.

Sementara itu, walaupun beberapa penganalisis menyifatkan kehilangan pesawat dan kerosakan peralatan sebagai menunjukkan keterbatasan kuasa udara AS, bekas komander CENTCOM, Jeneral Frank McKenzie, mempertahankan keputusan itu.

“Ia mengambil masa setahun untuk membina sebuah pesawat, tetapi ratusan tahun untuk membina tradisi ketenteraan yang tidak meninggalkan sesiapa di belakang,” katanya.

Trump menegaskan pendirian itu dengan kenyataan ringkas: Amerika Syarikat “tidak akan pernah meninggalkan anggota perangnya”.

 

Must Watch Video