Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Negara Eropah ‘sasaran sah’ jika sertai AS dan Israel - Iran

FILE PHOTO: Iranian Deputy Foreign Minister Majid Takht-Ravanchi, at the time its U.N. ambassador, speaks to the media outside Security Council chambers at the U.N. headquarters in New York, U.S., June 24, 2019. REUTERS/Shannon Stapleton/File Photo
Majid Takht-Ravanchi, menegaskan bahawa mana-mana negara yang menyokong serangan terhadap Iran akan dianggap sebagai “sasaran sah” untuk tindakan balas. - Foto REUTERS

PARIS: Ketegangan konflik antara Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel terus memuncak apabila Iran mengeluarkan amaran keras kepada negara-negara Eropah supaya tidak menyertai operasi ketenteraan terhadap Tehran.

Timbalan Menteri Luar Iran, Majid Takht-Ravanchi, menegaskan bahawa mana-mana negara yang menyokong serangan terhadap Iran akan dianggap sebagai “sasaran sah” untuk tindakan balas.

Dalam temu bual bersama France 24, Takht-Ravanchi berkata Tehran telah memaklumkan negara-negara Eropah dan pihak lain supaya berhati-hati dan tidak terlibat dalam apa yang digelarnya sebagai “perang agresif” yang dilancarkan terhadap Iran.

Beliau menegaskan lagi bahawa jika mana-mana negara menyertai AS dan Israel dalam serangan, negara tersebut akan serta-merta menjadi sasaran sah tindakan balas Iran.

Kenyataan itu mencerminkan pendirian tegas Tehran yang melihat sebarang sokongan ketenteraan terhadap AS dan Israel sebagai campur tangan langsung dalam konflik yang sedang berlangsung.

Laporan dari Izvestia turut menyatakan bahawa Iran sudah beberapa kali mengingatkan negara Eropah agar tidak terseret ke dalam perang, sambil menegaskan bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk mempertahankan kedaulatan negara jika tercetus ancaman.

Kebimbangan antarabangsa semakin meningkat kerana perkembangan ini berlaku ketika operasi ketenteraan AS-Israel di Iran semakin meluas, termasuk serangan udara dan tindak balas rentas sempadan, yang telah meningkatkan risiko konflik serantau merebak ke Eropah dan rantau Teluk.

Selain peningkatan rondaan udara dan laut oleh beberapa negara Eropah di Mediterranean Timur dan Teluk, laporan Cyprus Mail menyatakan bahawa sejumlah kerajaan Eropah sedang menilai kemungkinan untuk memberikan sokongan kepada sekutu Barat mereka.

Namun, amaran Tehran menambah risiko baru, khususnya kemungkinan serangan balas secara langsung jika mereka terlibat secara ketenteraan.

Penganalisis antarabangsa memberi amaran bahawa perkembangan ini boleh menjerumuskan Eropah ke dalam kancah konflik yang lebih besar sekiranya negara-negara Eropah membuat keputusan untuk menyertai operasi AS-Israel.

 

Must Watch Video