KUALA LUMPUR: Malaysia perlu membawa konflik Asia Barat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta menggunakan kerangka ASEAN untuk mendesak penghentian segera serangan ketenteraan.
Seruan itu terkandung dalam Deklarasi Rakyat Malaysia yang digerakkan gabungan pertubuhan masyarakat sivil bagi menuntut pendirian diplomatik lebih tegas daripada kepimpinan di Putrajaya.
Deklarasi berkenaan diselaraskan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, bersama wakil masyarakat sivil dan badan profesional.
“Kami menyeru Kerajaan Malaysia menyatakan penolakan jelas terhadap pencerobohan dan sebarang usaha menukar kerajaan melalui kekerasan. Malaysia perlu memimpin usaha di PBB dan peringkat serantau untuk menghentikan serangan serta memastikan orang awam dilindungi.
“Kami menolak alasan bahawa isu memperkaya uranium atau program nuklear Iran boleh dijadikan sebab untuk melancarkan serangan yang akhirnya bertujuan melemahkan negara dan memaksa perubahan politik melalui kekerasan. Ini bercanggah dengan prinsip undang-undang antarabangsa,” kata Mohd Azmi kepada Astro AWANI pada Selasa.
Menurut dokumen itu, situasi di Gaza sebelum ini menjadi bukti penggunaan kekuatan ketenteraan secara meluas mengakibatkan kemusnahan besar terhadap infrastruktur dan korban dalam kalangan orang awam.
Mohd Azmi menegaskan, keselamatan nyawa adalah tanggungjawab yang mesti dipatuhi semua pihak, selain menuntut siasatan bebas terhadap sebarang pelanggaran.
Pada masa sama, deklarasi itu menyeru rakyat Malaysia serta institusi media supaya menolak maklumat palsu dan memastikan wacana awam memihak kepada keamanan.
“Kami menegaskan komitmen terhadap advokasi aman dan sah di sisi undang-undang. Perang tidak akan mencipta suasana keselamatan, ia hanya memperluas penderitaan dan menghakis keadilan. Penyelesaian mesti kembali kepada diplomasi dan penghormatan terhadap kedaulatan negara," ujar Mohd Azmi.