PARIS: Presiden Perancis Emmanuel Macron menggesa sebarang sekatan eksport minyak dan gas dielakkan, ketika sidang video pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) pada Rabu, lapor Xinhua.
Para pemimpin berkenaan menerusi sidang video berbincang mengenai kesan ekonomi konflik antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran, terutamanya tentang kenaikan harga minyak mentah dan langkah-langkah yang mungkin untuk mengurangkan kesannya, menurut Istana Elysee.
Pada pembukaan sidang video itu, Macron menyeru negara lain untuk "mengelak daripada mengenakan sebarang sekatan ke atas eksport minyak dan gas" yang boleh menjejaskan kestabilan pasaran.
Selepas persidangan itu, Macron berkata Perancis akan mengeluarkan 14.5 juta tong minyak daripada rizab strategiknya susulan ahli Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) terdahulu telah bersetuju untuk mengeluarkan 400 juta tong daripada rizab kecemasan mereka ke dalam pasaran.
Beliau berkata pengeluaran itu akan dilaksanakan secara berperingkat, bergantung pada perkembangan pasaran dan penyelarasan dengan rakan kongsi utama.
Walaupun konflik tenaga dikaitkan dengan gangguan transit di Selat Hormuz, Macron berkata, blok G7 bersetuju situasi itu "sama sekali tidak membolehkan untuk sekatan ditarik balik", dan kumpulan itu tidak boleh mengubah kedudukannya terhadap Rusia sambil menyokong Ukraine.
Kesemua 32 negara anggota IEA pada Rabu sebulat suara bersetuju untuk menyediakan kepada pasaran 400 juta tong minyak daripada rizab kecemasan mereka, langkah terbesar dalam sejarah IEA, kata Pengarah Eksekutif Fatih Birol pada sidang akhbar.
Pengeluaran itu akan dijalankan dalam tempoh masa yang sesuai dengan keadaan negara setiap anggotanya, tambahnya.
Konflik di Asia Barat telah menghalang aliran minyak melalui Selat Hormuz, dengan volum eksport produk mentah dan ditapis kini jatuh kepada kurang 10 peratus daripada paras prakonflik, menurut IEA.
-- BERNAMA-XINHUA