JERUSALEM: Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mendakwa, Israel tidak pernah menyeret Amerika Syarikat (AS) ke dalam peperangan dengan Iran, sambil menolak dakwaan yang tular dalam laporan media antarabangsa sejak beberapa hari lalu.
Dalam sidang media di sini, Netanyahu menegaskan bahawa Presiden AS, Donald Trump membuat keputusan ketenteraannya secara bebas tanpa tekanan Israel.
Menurut Netanyahu, adalah mustahil bagi mana-mana pihak, termasuk Israel, untuk memaksa Presiden Trump mengambil tindakan yang bercanggah dengan kepentingan negaranya.
“Adakah sesiapa benar-benar fikir mereka boleh memberitahu Presiden Trump apa yang perlu dilakukan?” katanya, sambil menekankan hubungan rapat tetapi bebas pengaruh antara kedua-dua pemimpin.
Beliau menambah, walaupun operasi ketenteraan Israel-AS dilakukan secara koordinasi, setiap langkah strategik tetap berada di bawah keputusan penuh Presiden AS.
Dalam sidang media itu, Netanyahu turut mendakwa, operasi ketenteraan gabungan kedua-dua negara selama hampir tiga minggu telah melumpuhkan kemampuan nuklear dan peluru berpandu Iran, termasuk keupayaan memperkaya uranium dan membina peluru berpandu balistik.
Beliau menegaskan, tujuan utama kempen itu bukan sahaja untuk menghapuskan ancaman Iran terhadap Israel, tetapi juga bagi memastikan kestabilan serantau serta keselamatan global.
Dalam taklimat sama, Netanyahu menggariskan tiga objektif utama Israel dalam konflik tersebut iaitu menghapuskan ancaman nuklear Iran, menghapuskan ancaman peluru berpandu balistik dan membuka ruang kepada rakyat Iran menentukan masa depan mereka sendiri.
Netanyahu turut memberi bayangan bahawa operasi darat mungkin diperlukan pada masa depan, meskipun Presiden Trump dilaporkan kurang bersetuju dengan pilihan tersebut.
Ketegangan AS–Iran memuncak sejak berlakunya siri serangan balas pada awal minggu lalu.
Trump sebelum ini menyatakan bahawa AS tidak mengetahui mengenai serangan Israel ke atas fasiliti berkaitan Iran, namun Netanyahu menegaskan, tindakan itu adalah keputusan Israel sendiri. - Agensi