BEIRUT: Tentera Israel pada Sabtu (4 April) memberi amaran bahawa ia akan melancarkan serangan ke atas kawasan berhampiran lintasan utama antara Syria dan Lubnan, sambil menggesa penduduk supaya berpindah segera ketika serangan terus dilancarkan di seluruh negara itu.
Israel telah menjalankan serangan di seluruh Lubnan dan melancarkan pencerobohan darat di selatan sejak 2 Mac, apabila Hezbollah menyertai perang di Timur Tengah menyebelahi sekutunya, Iran.
“Oleh kerana Hezbollah menggunakan Lintasan Masnaa untuk tujuan ketenteraan dan penyeludupan peralatan tempur, tentera Israel bercadang untuk melancarkan serangan ke atas lintasan tersebut dalam masa terdekat,” kata jurucakap tentera Israel berbahasa Arab, Avichay Adraee, dalam satu hantaran di platform X.
Seorang sumber keselamatan Lubnan di lintasan berkenaan memberitahu agensi berita antarabangsa, mereka “kini sedang dipindahkan” susulan ancaman Israel itu.
Pihak berkuasa Syria pula berkata, lintasan tersebut “digunakan secara eksklusif bagi tujuan awam” dan menggantung sementara pergerakan keluar masuk atas kebimbangan terhadap keselamatan pelancong.
Lintasan Masnaa merupakan pintu masuk darat utama Lubnan ke wilayah lain di rantau ini serta laluan perdagangan penting bagi kedua-dua negara.
Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, satu serangan di Maaraka, berhampiran bandar pesisir pantai Tyre, mengorbankan lima orang dan mencederakan seorang lagi.
Serangan terdahulu di Habbush mengorbankan sekurang-kurangnya dua kanak-kanak perempuan dan mencederakan 22 orang, manakala serangan di al-Hawsh mencederakan 18 orang termasuk seorang kanak-kanak, tiga wanita dan tiga petugas paramedik, selain merosakkan sebuah hospital berdekatan.
Pengarah Hospital Itali Lubnan berkata, hospital itu akan “terus dibuka bagi memberikan rawatan perubatan yang diperlukan” walaupun mengalami kerosakan.
Puluhan ribu penduduk telah melarikan diri dari Tyre, namun kira-kira 20,000 orang masih berada di bandar itu, termasuk 15,000 pelarian dari kampung-kampung sekitar, biarpun amaran pemindahan Israel merangkumi sebahagian besar kawasan bandar tersebut.
Dalam masa sama, tentera Israel mengumumkan kematian seorang anggota tenteranya dalam pertempuran di selatan Lubnan, menjadikannya anggota ke-11 terbunuh sejak operasi darat bermula.
Tentera Israel turut menyatakan ia telah menyerang “lebih 140 sasaran infrastruktur pengganas Hezbollah” sepanjang dua hari lalu.
Perang ini telah menyebabkan lebih satu juta orang kehilangan tempat tinggal di Lubnan dan meragut lebih 1,400 nyawa, termasuk 54 petugas perubatan serta tiga anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Indonesia.
Pasukan pengaman PBB berkata, tiga lagi anggota pengaman cedera akibat satu letupan di dalam sebuah kemudahan PBB berhampiran Odaisse, sekali gus mendorong Indonesia mengecam insiden itu sebagai “tidak boleh diterima.”
Tentera Israel juga memusnahkan 17 kamera pengawasan yang dikaitkan dengan ibu pejabat utama UNIFIL di Naqura, menurut seorang pegawai keselamatan PBB. - Agensi