TEHRAN: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menafikan pihaknya melancarkan sebarang serangan peluru berpandu sepanjang tempoh gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa.
Dalam satu kenyataan yang dipetik oleh agensi berita Fars, IRGC menegaskan bahawa angkatan bersenjata Iran “tidak melancarkan sebarang peluru berpandu ke mana-mana negara sepanjang jam gencatan senjata setakat ini”.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi terhadap laporan media yang mendakwa sebuah dron telah menyebabkan kerosakan di sebuah kemudahan Pengawal Kebangsaan Kuwait.
“Jika laporan yang disiarkan media itu benar, ia sudah pasti merupakan tindakan musuh Zionis atau Amerika,” menurut kenyataan IRGC berkenaan.
IRGC turut menambah bahawa angkatan bersenjata Iran tidak akan menyembunyikan sebarang tindakan ketenteraan dan akan “mengumumkannya secara terbuka” melalui kenyataan rasmi sekiranya mereka benar-benar menyerang mana-mana sasaran.
Setakat ini, tiada pengesahan bebas berhubung punca insiden di kemudahan Pengawal Kebangsaan Kuwait, manakala pihak berkuasa Kuwait belum mengeluarkan kenyataan rasmi lanjut mengenai dakwaan tersebut.