KUALA LUMPUR: Iran menggesa Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, dan anggota Majlis Keselamatan PBB supaya mengecam serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap wilayahnya.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei Hamaneh, menegaskan bahawa serangan tersebut jelas merupakan jenayah dan menunjukkan kemerosotan sistem undang-undang antarabangsa.
“Sikap enggan bertindak terhadap pencerobohan seperti ini bukan sahaja menggalakkan AS dan Israel, malah berpotensi menimbulkan kemusnahan berpanjangan,” katanya, menurut kenyataan yang disiarkan oleh agensi Al-Jazeera hari ini.
Hamaneh menambah, dunia kini berada di persimpangan kritikal, sama ada membiarkan kekerasan bermaharajalela atau menyelamatkan prinsip undang-undang global daripada pupus.
Beliau menegaskan bahawa kekerasan tidak akan berakhir dalam masa terdekat jika masyarakat global gagal menentang intimidasi AS-Israel.
“Negara-negara lain tidak boleh bersikap sambil lewa atau berkompromi. Kegagalan menegakkan prinsip asas undang-undang antarabangsa merupakan ‘resipi’ para diktator dunia yang akan menguburkan PBB,” tegasnya.
Hamaneh turut menyeru negara-negara Islam untuk bangkit menentang perang yang sedang berlaku sebelum terlambat, sambil menekankan bahawa tindakan serupa oleh AS-Israel terhadap Iran berpotensi meluas ke negara mereka.
“Dunia mesti sedar sebelum terlambat, atau risiko pencerobohan dan jenayah serupa akan menimpa sempadan anda sendiri… Sejarah akan menilai anda sekiranya berpihak kepada penceroboh atau berdiam diri di hadapan ketidakadilan kejam ini, yang boleh dianggap sebagai menyokong AS-Israel,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa Republik Islam Iran tidak mempunyai pilihan lain selain mengambil tindakan terhadap beberapa aset ketenteraan AS di Asia Barat.
Sejak serangan AS-Israel terhadap Iran yang mengorbankan pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei, pada 28 Februari lalu, Iran telah melancarkan serangan balas ke atas aset ketenteraan AS di sekurang-kurangnya enam negara jiran.
“Operasi defensif ini tidak ditujukan kepada negara tuan rumah, tetapi semata-mata untuk mempertahankan Iran,” jelasnya.
Dalam kenyataannya hari ini di laman X, Guterres menegaskan bahawa semua serangan tidak sah di Asia Barat menimbulkan kerugian besar kepada orang awam dan risiko serius terhadap ekonomi global.
Beliau menyeru agar pertempuran dihentikan dan rundingan diplomatik dijalankan, tanpa menyentuh tindakan AS-Israel secara khusus.