TEHRAN: Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengumumkan pelancaran gelombang ke‑37 serangan peluru berpandu dan dron, ketika laporan dari rantau itu menyebut bahawa Tel Aviv turut terkena serangan, manakala pasukan pertahanan Arab Saudi sedang memintas projektil yang masuk.
Pengesahan mengenai pelancaran serangan baharu ini diperoleh melalui kemas kini konflik oleh media serantau.
Serangan besar-besaran ini berlaku di tengah perang berterusan antara Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel, yang menyaksikan beberapa negara Teluk termasuk Bahrain, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi berada dalam mod pertahanan penuh berikutan amaran projektil dari Iran.
Laporan menyebut bahawa sistem pertahanan udara di UAE dan Saudi telah diaktifkan untuk menangani ancaman tersebut.
Sumber tempatan di Israel melaporkan bunyi letupan di kawasan sekitar Tel Aviv, dipercayai akibat peluru berpandu yang ditembak Iran sebagai tindak balas terhadap operasi ketenteraan AS-Israel.
Bagaimanapun, jumlah kerosakan dan korban belum dapat dipastikan sepenuhnya.
Tentera Israel dilaporkan mengaktifkan sistem pertahanan pelbagai lapisan bagi memintas serangan, namun beberapa projektil berjaya melepasi pertahanan dan mencetuskan kecederaan di beberapa kawasan.
Di Arab Saudi, pasukan pertahanan negara itu dilapor bertempur dengan projektil yang memasuki ruang udara mereka.
Serangan Iran turut menyasarkan infrastruktur tenaga dan lokasi strategik di rantau Teluk, sebagai sebahagian daripada tindak balas terhadap pengeboman besar-besaran AS dan Israel ke atas Teheran dan beberapa wilayah Iran sebelum ini.
Serangan berterusan ini menandakan peningkatan signifikan dalam konflik, dengan negara-negara sekitar semakin terheret ke dalam ketegangan yang bermula selepas AS dan Israel melancarkan operasi ketenteraan terhadap Iran sejak 28 Februari.
Selain Israel, serangan dari pihak Iran juga dilaporkan menjangkau Cyprus dan beberapa pangkalan tentera AS di rantau Teluk.
Perang yang semakin meluas ini terus menguji sistem pertahanan udara negara-negara Asia Barat yang mengalami tekanan akibat serangan bertubi-tubi dari pelbagai arah.
Setakat ini, belum ada tanda-tanda ketegangan akan reda, dengan kedua-dua pihak menunjukkan kesiapsiagaan untuk meneruskan serangan balas.