TEHRAN: Iran mengumumkan larangan serta‑merta terhadap semua pasukan sukan kebangsaan dan kelab daripada melakukan perjalanan ke negara yang dianggap “bermusuhan”, lapor media tempatan pada Khamis.
Kementerian Sukan negara itu dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas menilai risiko keselamatan yang dihadapi atlet mereka susulan ketegangan politik yang semakin memuncak.
“Kehadiran pasukan kebangsaan dan kelab di negara yang dianggap bermusuhan dan tidak mampu menjamin keselamatan atlet Iran adalah dilarang sehingga diberitahu kelak,” menurut kenyataan tersebut.
AFC diminta pindahkan lokasi
Kementerian turut mengarahkan Persekutuan Bola Sepak Iran dan kelab‑kelab terlibat supaya memaklumkan perkara itu kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) agar venue perlawanan yang membabitkan pasukan Iran dapat dipindahkan.
Dalam kenyataannya, kementerian memberi contoh pasukan Tractor FC, yang dijadual beraksi menentang kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Arab Saudi.
Bagaimanapun, ia tidak menyatakan secara spesifik negara mana yang dikategorikan sebagai “bermusuhan.”
Penyertaan Iran ke Piala Dunia 2026 mungkin terjejas
Iran sebelum ini telah melayakkan diri ke Piala Dunia 2026, yang akan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Namun, konflik yang tercetus antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel sejak akhir Februari mencetuskan persoalan mengenai keselamatan pasukan Iran di venue kejohanan.
Awal bulan ini, Presiden AS Donald Trump berkata, pasukan Iran “dialu‑alukan” untuk bermain di Amerika Syarikat tetapi memberi amaran bahawa ia mungkin tidak sesuai dari sudut “keselamatan dan nyawa” pemain Iran.
Susulan itu, Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj memaklumkan, perbincangan sedang diadakan dengan FIFA untuk memindahkan perlawanan Piala Dunia Iran ke Mexico.
Walaupun berlaku ketegangan diplomatik, skuad kebangsaan Iran kini berada di Turkiye untuk menjalani latihan.
Mereka dijadualkan berdepan Nigeria pada Jumaat dan Costa Rica pada Selasa sebagai perlawanan persahabatan antarabangsa. - Agensi