Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: IMO bakal bersidang bahas krisis perkapalan akibat perang AS–Israel–Iran

Hormuz
Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dijadualkan bersidang selama dua hari bagi meneliti beberapa draf resolusi susulan ketegangan yang semakin meruncing di laluan perdagangan maritim utama dunia tersebut. -Foto hiasan/Adobe Stock

LONDON: Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bakal mengadakan satu "sesi luar biasa" bagi membincangkan impak peperangan antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran terhadap sektor perkapalan serta keselamatan pelaut di rantau Teluk.

Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dijadualkan bersidang selama dua hari bagi meneliti beberapa draf resolusi susulan ketegangan yang semakin meruncing di laluan perdagangan maritim utama dunia tersebut.

Memetik laporan agensi berita AFP, sekumpulan negara termasuk United Kingdom, Perancis, Jerman dan beberapa negara Teluk menggesa majlis IMO yang dianggotai 40 negara untuk menerima pakai deklarasi bagi mengutuk sekeras-kerasnya siri serangan yang didakwa dilakukan oleh Iran terhadap negara jiran.

Kumpulan negara berkenaan turut mendesak kecaman terhadap tindakan Tehran yang didakwa melakukan "penutupan" ke atas Selat Hormuz, yang merupakan laluan kritikal bagi bekalan tenaga global.

Dalam pada itu, Jepun, Panama, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula memohon campur tangan IMO bagi mewujudkan satu rangka kerja khusus bagi membolehkan proses pemindahan selamat dilakukan terhadap pelaut dan kapal-kapal yang kini terkandas di rantau Teluk akibat konflik berkenaan.

Sementara itu, Iran dalam hantarannya kepada IMO menegaskan bahawa kemerosotan persekitaran keselamatan maritim ketika ini adalah berpunca daripada tindakan menyalahi undang-undang oleh pihak Amerika Syarikat dan Israel.

Menurut Tehran, implikasi buruk terhadap industri perkapalan dan pelaut yang berlaku sekarang merupakan kesan langsung yang tidak dapat dielakkan daripada siri serangan yang dilancarkan ke atas kedaulatan wilayahnya.

Sesi kecemasan ini dilihat amat penting dalam menentukan hala tuju keselamatan perkapalan antarabangsa memandangkan trafik di Selat Hormuz dilaporkan merosot lebih 95 peratus sejak perang bermula akhir Februari lalu.

Dunia kini menantikan hasil rundingan tersebut bagi melihat keberkesanan badan antarabangsa itu dalam melindungi rantaian bekalan global dan kebajikan petugas maritim yang terperangkap di zon konflik.

Must Watch Video