Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Di sebalik “force majeure” dan impaknya ke atas ekonomi

The Thailand-flagged cargo ship Mayuree Naree engulfed in black smoke in the Strait of Hormuz, March 11, 2026. ROYAL THAI NAVY/Handout via REUTERS THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. NO RESALES. NO ARCHIVES. MANDATORY CREDIT VERIFICATION: - Identity of the vessel confirmed as Thai-flagged bulk carrier Mayuree Naree from IMO number, hull and superstructure seen in the images which matched file imagery of the vessel - Location confirmed as off north coast of Oman, in Strait of Hormuz,_REUTERS
Kenaikan premium insurans bukan disebabkan oleh “force majeure” sebaliknya akibat gangguan susulan sekatan di Selat Hormuz, laluan sempit transit minyak paling kritikal dunia dengan Iran memegang kuasa besar ke atasnya. - Gambar fail/ Reuters

KUALA LUMPUR: “Force majeure” dalam bahasa Perancis merujuk kepada “kuasa besar” atau dari sudut undang-undang bermakna keadaan di luar jangka yang berlaku seperti perang di Asia Barat yang jelas di luar kawalan sesuatu pihak dan membolehkan mereka dikecualikan daripada memenuhi obligasi kontrak.

Profesor Madya Ekonomi Perniagaan Universiti Nottingham Malaysia Tan Chee Meng berkata syarikat yang mempunyai obligasi kontrak dapat menggunakan klausa ini bukan hanya sewaktu peperangan tetapi juga dalam konteks seperti konflik bersenjata, bencana alam, mogok dan sekatan kerajaan.

“Klausa ini diguna pakai sebagai langkah perlindungan untuk melindungi pihak-pihak yang terkesan akibat peperangan atau konflik,” katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai penggunaan “force majeure” serta impaknya terhadap ekonomi, khususnya di Asia.

Serangan ketenteraan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran berlaku pada 28 Feb dan 2026, disusuli dengan serangan balas Tehran menerusi pengeboman terhadap pangkalan udara serta kemudahan penapisan minyak di 11 negara di rantau Teluk sejak 24 hari lepas.

Setakat tengah hari ini, Iraq telah menguatkuasakan “force majeure” ke atas semua medan minyak asing dibangunkan oleh syarikat minyak luar negara manakala Kuwait ke atas minyak mentah dan produk minyak ditapis dan Qatar ke atas eksport gas atau penghantaran gas asli cecair (LNG) serta syarikat tenaga milik negara Bahrain (BAPCO).

BAPCO juga bertindak mengisytiharkan penguatkuasaan “force majeur” ke atas operasi selepas kemudahan penapisan minyaknya turut menjadi sasaran serangan.

Di Iraq misalnya, medan minyak adalah milik kerajaan manakala pengendali asing menghasilkan minyak berdasarkan kontrak dengan kerajaan negara itu.

“Meskipun perang, entiti asing ini masih mempunyai obligasi atau kewajipan kontrak untuk pengeluaran walaupun tidak dapat diangkut keluar dari Asia Barat dengan selamat selain kekurangan ruang simpanan minyak.

“Mungkin ini juga menjadi alasan Iraq mengumumkan pelaksanaan “force majeure” yang boleh menjadi asas undang-undang kepada firma asing uintuk tidak lagi bertindak mengeluarkan minyak selagi perang berterusan manakala eksport dan kemampuan penyimpanan pula kekal terhad,” katanya.

Berikutan itu, jelas Tan, apa yang lazimnya berlaku adalah pengurangan pengeluaran.

“Memandangkan perang di Iran berlanjutan dan pergerakan sukar bagi mengangkut minyak dan gas keluar masuk menerusi Selat Hormuz, adalah tidak realistik atau membazir untuk pengendali terbabit mengeluarkan minyak dan gas pada tahap sebelum perang berikutan ketiadaan tempat penyimpanan yang mencukupi,” katanya.

“Force Majeure” lonjakkan premium insurans, punca kekurangan?

Tan berkata kenaikan premium insurans bukan disebabkan oleh “force majeure” sebaliknya akibat gangguan susulan sekatan di Selat Hormuz, laluan sempit transit minyak paling kritikal dunia dengan Iran memegang kuasa besar ke atasnya.

Selat itu menghubungkan Teluk Parsi ke Teluk Oman dan Laut Arab dengan kira-kira 20–30 peratus perdagangan minyak global melintasinya saban hari.

“Oleh kerana risiko melintasi selat ini meningkat ketara sepanjang tempoh peperangan ini, syarikat insurans bertindak mengenakan premium lebih tinggi, mengehadkan liputan dan menetapkan deduktibel lebih tinggi iaitu bahagian tuntutan yang ditanggung oleh pihak diinsuranskan,” katanya.

Deduktibel merujuk kepada bahagian kerugian ditanggung oleh pihak terbabit sebelum berhak menerima pampasan daripada syarikat insurans.

Sebagai contoh, jika kargo bernilai US$500,000 (US$1 = RM3.93) diinsuranskan dengan kadar deduktibel sebanyak US$5,000 dan kargo mengalami kerosakan bernilai US$50,000, syarikat insurans hanya akan membayar US$45,000 sebagai pampasan manakala baki US$5,000 ditanggung oleh pihak yang diinsuranskan.

Bagaimanapun, susulan peningkatan risiko sebegitu tinggi, nisbah itu berubah secara drastik sehingga tidak lagi ekonomik untuk kedua-dua pihak pengangkut dan syarikat insurans, katanya.

Namun, Tan berkata ini bukanlah alasan utama banyak negara di serata dunia berdepan kekurangan minyak dan gas kerana perkara asas adalah sekatan Selat Hormuz.

Sehubungan itu, “force majeure” dalam konteks ini adalah sebagai tindak balas terhada gangguan dan memberi asas undang-undang kepada firma minyak untuk mengurangkan pengeluaran akibat ketidakupayaan melakukan eksport secara selamat melintasi selat itu serta kekangan penyimpanan.

Oleh kerana sekatan itu masih berterusan, penghantaran minyak dan gas melalui selat itu telah merosot sebegitu ketara.

Tan turut merujuk unjuran agensi berita Reuters bahawa penghantaran telah merosot daripada kira-kira 25.1 juta tong sehari (bpd) kepada 9.7 juta bpd.

Memburukkan lagi keadaan, lebih 80 peratus minyak dan gas dari Asia Barat itu adalah bagi destinasi ke Asia.

“Tanpa bahan bakar fosil ini, banyak negara Asia kini mengalami kekurangan tenaga dan bahan bakar, terutamanya negara kurang maju yang tiada kapasiti mengekalkan jumlah simpanan besar,” katanya.

Berikutan itu, negara seperti Bangladesh, Vietnam dan Thailand bertindak mengumumkan langkah bekerja dari rumah dan penggunaan pengangkutan awam sebagai usaha penjimatan bahan bakar manakala negara lain, terutama pengguna minyak, meningkatkan harga pam di stesen-stesen minyak.

Situasi perang yang berlanjutan akan memaksa lebih banyak kerajaan bertindak mengambil langkah lebih tegas untuk menguruskan penggunaan tenaga.

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) bertindak menyemak turun unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN-6 kepada 4.5 peratus pada 2026 daripada 4.8 peratus dan 4.7 peratus pada 2027 (daripada 4.8 peratus).

Bagi Malaysia, unjuran KDNK 2026 dikurangkan kepada 4.9 peratus daripada 5.1 peratus manakala Indonesia 5.2 peratus (5 peratus), Filipina kepada 4.9 peratus (4.6 peratus), Singapura kepada 3.6 peratus (3.4 peratus), Thailand kepada 2.1 peratus (1.8 peratus) dan Vietnam 7.6 peratus (7.2 peratus).

Pengurangan ketara adalah di Filipina (0.4 peratus), Vietnam (0.4 peratus), dan Thailand (0.3 peratus)

Menurut Maybank IB, kenaikan harga tenaga dan subsidi bahan bakar akan hanya menambah beban fiskal bagi Indonesia, Thailand dan Malaysia.

“Had siling defisit fiskal Indonesia sebanyak tiga peratus mungkin diuji jika kejutan harga minyak ini berlanjutan. Malaysia (sebagai pengeksport tenaga bersih) dan Singapura (mempunyai rizab fiskal besar) berada dalam kedudukan lebih baik untuk menghadapi impak berkenaan,” menurut bank itu.

Maybank IB turut menaikkan unjuran inflasi ASEAN-6 kepada 2.7 peratus pada 2026 (daripada 2.2 peratus) dan 2.7 peratus pada 2027 (daripada 2.5 peratus) dengan pelarasan lebih tinggi bagi Thailand (0.8 peratus pada 2026), Filipina (0.5 peratus) dan Indonesia (0.5 peratus).

”Kejutan harga tenaga ini telah memendekkan kitaran pelonggaran monetari. Kami menjangkakan bank pusat di Filipina dan Singapura akan bertindak menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas selain mengetatkan dasar masing-masing melalui kecenderungan lebih tinggi pada April.

“(Pendirian) bank-bank pusat ASEAN lain pula berkemungkinan tidak berubah pada 2026,” katanya.

-- BERNAMA  

 

 

 

 

Must Watch Video