BEIJING: China dan Pakistan pada Selasa menggesa gencatan senjata segera di Asia Barat, di samping menyeru supaya rundingan damai dimulakan secepat mungkin serta pelayaran normal di Selat Hormuz dipulihkan, menurut kenyataan selepas pertemuan menteri luar kedua-dua negara di Beijing.
Kedua-dua negara turut menyuarakan sokongan agar usaha diplomatik dilakukan bagi menamatkan konflik AS–Israel dengan Iran yang kini memasuki minggu kelima.
Pakistan, yang berkongsi sempadan lebih 900 kilometer dengan Iran sebelum ini menyatakan kesediaannya bertindak sebagai fasilitator rundingan damai antara Washington dan Tehran, berbekalkan kedudukannya sebagai negara berjiran dengan Iran serta peranannya sebagai pemain berkecuali di rantau itu.
Dalam inisiatif lima perkara yang dibentangkan, China dan Pakistan menegaskan bahawa:
- Dialog dan diplomasi adalah satu-satunya jalan realistik bagi menyelesaikan konflik.
- Semua pihak perlu komited menyelesaikan pertikaian melalui cara damai.
- Kedaulatan, integriti wilayah, kemerdekaan dan keselamatan Iran serta negara-negara Teluk perlu dihormati.
- Orang awam, infrastruktur awam dan fasiliti nuklear aman mesti dilindungi.
Menteri Luar China, Wang Yi dan rakan sejawatnya dari Pakistan, Mohammad Ishaq Dar turut menekankan keperluan menjamin keselamatan laluan perairan, termasuk kapal dan kru yang terkandas di sekitar Selat Hormuz — kawasan strategik yang kini menjadi tumpuan kebimbangan global.
Kedua-dua negara itu turut menyeru semua pihak supaya membenarkan kapal komersial dan kapal awam melalui Selat Hormuz dengan selamat secepat mungkin serta mengembalikan operasi pelayaran normal di laluan kritikal itu pada kadar segera.