NAYPYIDAW: Ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing, dijangka dipilih sebagai presiden menerusi undian parlimen pada Jumaat, satu langkah yang bakal merasmikan penguasaannya ke atas negara itu hampir lima tahun selepas beliau menggulingkan kerajaan awam menerusi rampasan kuasa tentera.
Perkembangan itu menyusuli pilihan raya baru‑baru ini yang menyaksikan kemenangan besar parti disokong tentera, Union Solidarity and Development Party (USDP), walaupun proses tersebut dikecam kumpulan pembangkang serta negara Barat sebagai tidak bebas dan tidak adil.
Pengkritik menyifatkan pilihan raya berkenaan sebagai usaha untuk mengekalkan pemerintahan tentera di sebalik struktur kerajaan awam.
Min Aung Hlaing, 69, merupakan arkitek rampasan kuasa 2021 yang menyingkirkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi, pemenang Hadiah Keamanan Nobel, dan mencetuskan protes besar‑besaran di seluruh negara.
Tindakan keras tentera terhadap perhimpunan awam kemudian mencetuskan konflik bersenjata yang berlanjutan sehingga kini.
Parlimen, yang baharunya dibentuk, dijadualkan bersidang pada jam 10 pagi waktu tempatan untuk memilih presiden daripada tiga calon.
Ahli parlimen USDP, yang menguasai kira‑kira 81 peratus kerusi yang dipertandingkan, bersama ahli lantikan tentera dijangka menyokong Min Aung Hlaing.
Pencalonan beliau hanya diketengahkan secara terbuka minggu ini dan berlaku seiring dengan rombakan besar dalam kepimpinan angkatan tentera Myanmar.
Pada Isnin, Min Aung Hlaing melantik Ye Win Oo, bekas ketua perisikan yang dianggap sekutu rapatnya, sebagai ketua angkatan tentera yang baharu.
Penganalisis melihat langkah itu sebagai peralihan strategik, membolehkan Min Aung Hlaing memimpin kerajaan awam secara nominal sambil mengekalkan pengaruh ketenteraan menerusi barisan kepimpinan yang setia kepadanya.
Angkatan tentera Myanmar telah memerintah negara itu secara langsung untuk sebahagian besar tempoh enam dekad lalu.
“Beliau telah lama menyasarkan jawatan presiden sebagai kemuncak penguasaannya, dan langkah ini dilihat sebagai usaha untuk mengukuhkan kawalan politik jangka panjang,” kata seorang penganalisis bebas yang mengikuti perkembangan Myanmar.
Namun, peralihan politik itu berlaku ketika perang saudara masih berterusan.
Minggu ini, beberapa kumpulan penentang, termasuk saki‑baki parti Suu Kyi dan tentera etnik minoriti, mengumumkan pembentukan pakatan baharu untuk menentang tentera.
Pakatan itu menyatakan hasrat untuk menamatkan semua bentuk pemerintahan diktator dan membina sistem politik baharu yang lebih demokratik.
Penganalisis memberi amaran bahawa kumpulan penentang mungkin berdepan tekanan ketenteraan lebih kuat, di samping cabaran dalaman akibat krisis ekonomi dan kekurangan sumber.
Sekiranya Min Aung Hlaing dipilih, Myanmar dijangka memasuki fasa baharu pemerintahan awam berlabel rasmi, namun dengan tentera masih kekal sebagai kuasa dominan di belakang tabir.