Skip to main content

Dunia

Ketua DP World letak jawatan selepas dikaitkan dengan Jeffrey Epstein

FILE PHOTO: Sultan Ahmed bin Sulayem, Chairman and Chief Executive Officer of DP World, gestures during the World Government Summit in Dubai, United Arab Emirates, February 12, 2017. REUTERS/Stringer/File Photo
Sultan Ahmed didakwa bertukar ratusan e-mel dengan Epstein selama lebih sedekad. - Foto REUTERS

DUBAI: Ketua syarikat pelabuhan global DP World, Sultan Ahmed bin Sulayem, meletakkan jawatan serta-merta selepas tekanan semakin memuncak berhubung pendedahan hubungan beliau dengan pesalah seks terkenal, Jeffrey Epstein.

Keputusan itu diumumkan pada Jumaat, dengan Essa Kazim dilantik sebagai pengerusi baharu dan Yuvraj Narayan sebagai ketua pegawai eksekutif.

Menurut fail yang baru didedahkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS), Sultan Ahmed didakwa bertukar ratusan e-mel dengan Epstein selama lebih sedekad.

Analisis BBC News Arabic menunjukkan hubungan mereka bermula sekitar tahun 2007, termasuk berbual tentang urusan perniagaan, rancangan perjalanan dan mesej peribadi.

Epstein malah menggambarkan Sultan Ahmed sebagai “salah seorang rakan yang paling dipercayainya”.

DP World, sebuah gergasi logistik milik kerajaan Dubai yang mengendalikan terminal di enam benua, turut berdepan tekanan daripada rakan niaga.

British International Investment dan La Caisse, dana pencen kedua terbesar Kanada, menggantung pelaburan baharu dalam syarikat itu berikutan nama Sultan Ahmed muncul dalam fail tersebut.

Fail itu turut mendedahkan satu e-mel Epstein pada 2009 yang menyebut “torture video”, dengan pegawai AS mengesahkan bahawa Sultan Ahmed adalah penerimanya.

Dua ahli Kongres AS, Ro Khanna dan Thomas Massie, mendakwa Sultan Ahmed termasuk dalam “enam lelaki berpengaruh” yang dikaitkan dengan Epstein dan bahawa beberapa fail telah disunting secara tidak wajar.

BBC menegaskan bahawa disebut dalam fail tidak semestinya bermaksud salah laku, dan Sultan Ahmed belum memberi sebarang kenyataan.

Namun gambaran hubungan luas antara beliau dan Epstein telah mencetuskan kebimbangan reputasi terhadap DP World, termasuk laporan kepada Suruhanjaya Amal UK melibatkan projek Earthshot milik Putera Wales yang menerima pembiayaan daripada syarikat tersebut. 
 

Must Watch Video