Skip to main content

Dunia

Kesihatan Puteri Diraja Thailand dilapor semakin merosot

Princess Bajrakitiyabha Narendira Debyavati
Puteri Bajrakitiyabha (foto) kini menerima rawatan intensif menggunakan ubat khusus serta bergantung kepada peralatan sokongan bagi membantu fungsi paru-paru dan buah pinggang. -Gambar fail/X

BANGKOK: Keadaan kesihatan Puteri Diraja Thailand, Puteri Bajrakitiyabha Narentiradebyavati, dilapor semakin merosot akibat jangkitan pada beberapa organ utama.

Istana Diraja Thailand dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa selepas melalui tempoh rawatan yang panjang, pasukan perubatan mengesan jangkitan pada bahagian perut yang kemudiannya membawa kepada keradangan usus pada April lalu.

Komplikasi itu menyebabkan tekanan darah baginda menurun serta degupan jantung menjadi tidak stabil.

Menurut kenyataan sama, puteri diraja itu kini menerima rawatan intensif menggunakan ubat khusus serta bergantung kepada peralatan sokongan bagi membantu fungsi paru-paru dan buah pinggang.

Pasukan perubatan diraja akan terus memantau keadaan kesihatan baginda secara rapi dan memberikan rawatan yang bersesuaian.

Puteri Bajrakitiyabha, 47, yang juga dikenali sebagai Puteri Bha, merupakan anak sulung kepada Raja Maha Vajiralongkorn.

Baginda sebelum ini dikejarkan ke hospital pada Disember 2022 selepas tidak sedarkan diri akibat masalah jantung dan komplikasi jangkitan, dan sejak itu menerima rawatan berterusan.

Puteri Bajrakitiyabha mempunyai latar belakang pendidikan di Britain, Amerika Syarikat dan Thailand, selain pernah memegang peranan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta aktif memperjuangkan hak banduan wanita.

 

Must Watch Video

Advertisement