LARISA: Ahli keluarga kepada 57 mangsa yang terkorban dalam nahas kereta api paling buruk dalam sejarah Greece memenuhi sebuah mahkamah pada Rabu ketika perbicaraan kes itu disambung, sambil menuntut keadilan buat mangsa.
Perbicaraan yang berlangsung di bandar Larisa sebelum ini ditangguhkan susulan kekecohan akibat keadaan mahkamah yang sesak.
Keadaan hampir sama berulang apabila ramai waris gagal mendapatkan tempat untuk menyaksikan prosiding, dengan hanya individu yang dijadualkan secara sah dibenarkan masuk oleh pihak polis.
Nahas yang berlaku pada Februari 2023 itu meragut nyawa puluhan penumpang, kebanyakannya pelajar, apabila kereta api penumpang dari Athens ke Thessaloniki berlanggar secara berdepan dengan kereta api kargo berhampiran Tempi, di tengah Greece.
Beberapa mangsa dipercayai terbakar selepas terselamat daripada perlanggaran awal.
Kes ini dikenali di Greece sebagai “jenayah Tempi”, dengan kemarahan awam memuncak akibat dakwaan kecuaian dan rasuah dalam sistem negara.
Seramai 36 defendan dibicarakan, dengan 33 daripadanya berdepan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Antara tertuduh ialah seorang ketua stesen dan beberapa pegawai kereta api, termasuk dua bekas pekerja syarikat kereta api milik Itali.
Tragedi itu mencetuskan protes besar-besaran di seluruh negara, termasuk dakwaan bahawa bukti penting dimusnahkan apabila tapak nahas diratakan beberapa hari selepas kejadian.
Walaupun Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis telah memohon maaf dan menyeru kesabaran agar keadilan ditegakkan, ketiadaan ahli politik dalam kalangan tertuduh terus mengundang kekecewaan keluarga mangsa.
Perbicaraan dijangka berlanjutan bertahun-tahun dengan keterangan lebih 350 saksi, dalam usaha merungkai punca sebenar tragedi yang mengorbankan puluhan nyawa itu.