Skip to main content

Dunia

Kapal belayar dari pelabuhan Iran walaupun diancam sekatan oleh AS

A hovercraft moves past the Jag Vasant vessel transferring LPG at a port after transiting the Strait of Hormuz amid supply disruptions linked to the U.S-Israeli conflict with Iran, in Mumbai, India, April 1, 2026. REUTERS/Francis Mascarenhas
Penganalisis maritim memberi amaran bahawa isyarat daripada kapal di rantau itu telah terganggu dan dimanipulasi, sekali gus menyukarkan penjejakan tepat. - Reuters

TEHRAN: Sekurang-kurangnya dua kapal yang belayar dari pelabuhan Iran melintasi Selat Hormuz walaupun terdapat ancaman sekatan oleh tentera Amerika Syarikat (AS), menurut laporan penjejakan maritim.

Menurut Agensi Berita Mehr (MNA), kapal itu merupakan antara sekurang-kurangnya empat kapal yang mempunyai kaitan dengan Iran yang menggunakan laluan berkenaan susulan ancaman Washington, berdasarkan data penyedia data maritim Kpler.

Kapal pengangkut pukal berbendera Liberia, Christianna, melintasi selat itu selepas memunggah 74,000 tan jagung di pelabuhan Iran, Bandar Imam Khomeini, dengan melalui Pulau Larak di selat berkenaan kira-kira 1600 GMT pada 13 April, menurut data Kpler, lapor Press TV.

Sebuah lagi kapal, kapal tangki berbendera Comoros, Elpis, berada berhampiran Pulau Larak kira-kira 1100 GMT dan melepasi selat itu sekitar 1600 GMT. Kapal itu membawa 31,000 tan metanol selepas berlepas dari pelabuhan Bushehr, Iran pada 31 Mac, menurut data Kpler.

Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) memberi amaran bahawa sekatan itu akan menyasarkan “kapal dari semua negara yang memasuki atau meninggalkan pelabuhan dan kawasan pesisir Iran”.

Sebuah kapal tangki China, Rich Starry, turut melintasi selat itu pada waktu malam melalui laluan pemeriksaan yang diluluskan Iran di selatan Pulau Larak.

Penganalisis maritim memberi amaran bahawa isyarat daripada kapal di rantau itu telah terganggu dan dimanipulasi, sekali gus menyukarkan penjejakan tepat.

Iran mengenakan sekatan terhadap laluan kapal di Selat Hormuz susulan perang pencerobohan haram AS-Israel pada 28 Feb.

Pentadbiran Donald Trump pada hujung minggu lalu memaklumkan bahawa ia akan mengenakan sekatan terhadap pelabuhan Iran di Teluk Parsi dan Laut Oman. Tentera AS mendakwa sekatan itu mula berkuat kuasa pada Isnin.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) memberi amaran bahawa sebarang kapal tentera yang menghampiri Selat Hormuz akan melanggar gencatan senjata rapuh yang menghentikan 40 hari pertempuran sengit minggu lepas. Pemerintah tentera pusat Iran turut memberi amaran mengenai tindak balas serantau yang lebih meluas sekiranya pelabuhan Iran diserang.

-- BERNAMA-MNA

Must Watch Video