Skip to main content

Dunia

Israel lancar serangan ke atas tapak nuklear Iran, Tehran beri amaran tindakan balas 'berat'

51753152328_SeyedAbbasAraghchi.jpg
Abbas Araghchi, menegaskan Israel akan membayar “harga yang berat” berikutan serangan terhadap beberapa infrastruktur penting negara itu.

ISRAEL melancarkan serangan udara ke atas beberapa kemudahan nuklear dan infrastruktur strategik Iran, termasuk sebuah fasiliti pemprosesan uranium di bandar Yazd.

Serangan terbaharu pada Jumaat itu berlaku ketika usaha diplomatik serantau sedang digiatkan untuk menghentikan perang Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran yang memasuki hari ke-28, lapor Al Jazeera.

Tentera Udara Israel mengesahkan pihaknya menyasarkan sebuah loji yang digunakan untuk memproses bahan mentah penting bagi proses pengayaan uranium, yang disifatkan sebagai “fasiliti unik” dalam rangkaian nuklear Iran. 

Badan Tenaga Atom Iran turut mengesahkan serangan itu namun menegaskan tiada kematian atau kebocoran radiasi dilaporkan.

Serangan ke atas Yazd merupakan sebahagian daripada siri serangan besar-besaran yang turut menyasarkan Kompleks Air Berat Khondab di tengah Iran. 

Dua loji keluli utama negara itu - Khuzestan Steel di barat daya dan Mobarakeh Steel di Isfahan - turut dilaporkan mengalami kerosakan pada pencawang elektrik, talian pengeluaran aloi dan sebuah gudang, menurut agensi berita Mehr.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan Israel akan membayar “harga yang berat” berikutan serangan terhadap beberapa infrastruktur penting negara itu. 

Beliau berkata Israel telah mensasarkan dua kilang keluli terbesar Iran, sebuah stesen janakuasa dan beberapa lokasi nuklear awam lain.

Beberapa kawasan di Tehran, Kashan dan Ahwaz turut menjadi sasaran, manakala 18 orang dilaporkan terkorban dalam serangan di bandar Qom. 

Sejak konflik bermula pada 28 Februari, lebih 1,900 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan AS-Israel ke atas Iran.

Pegawai Iran memaklumkan sekurang-kurangnya 120 muzium dan tapak bersejarah di seluruh negara telah rosak akibat serangan berterusan itu. 

Penganalisis dasar, Negar Mortazavi, memberitahu Al Jazeera bahawa tindakan menyasarkan air, elektrik, gas, sekolah, hospital dan warisan budaya menyebabkan rakyat Iran - termasuk pengkritik kerajaan -  kini melihat perang ini sebagai serangan terhadap rakyat Iran, bukan hanya kepimpinan negara.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, menyatakan kempen ketenteraan itu akan “dipertingkatkan”, sambil menuduh Tehran sengaja mengarahkan peluru berpandu ke kawasan awam di Israel. 

Komander Aeroangkasa IRGC, Seyed Majid Moosavi, pula memberi amaran bahawa konflik kini berada di fasa baharu dan “persamaan tidak lagi mata dibalas mata”, sambil meminta pekerja syarikat yang berkaitan AS dan Israel di rantau itu segera mengosongkan tempat kerja.

Menurut Al Jazeera, serangan terhadap dua kemudahan nuklear terbesar Iran itu boleh mendorong IRGC mensasarkan semula tapak nuklear Israel di Dimona, seperti yang berlaku minggu lalu. 

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden AS Donald Trump berkata beliau menangguhkan serangan yang dirancang ke atas infrastruktur tenaga Iran sehingga 6 April kerana rundingan “berjalan dengan baik”, namun Iran menolak kenyataan itu sebagai “berat sebelah dan tidak adil”.

Seorang pegawai Iran menyifatkan tindakan AS yang terus melakukan serangan sambil membincangkan proses damai sebagai “tidak boleh diterima”. 
 

Must Watch Video