ISTANBUL: Perdana Menteri Ireland Micheal Martin berkata pada Isnin Ireland tidak akan mengambil bahagian dalam misi membuka semula Selat Hormuz berikutan gesaan Amerika Syarikat (AS) untuk menempatkan pasukan tentera laut di kawasan itu, lapor Anadolu Ajansi.
Martin menolak penglibatan Ireland dalam mana-mana misi Kesatuan Eropah untuk membuka semula laluan minyak strategik itu menjelang lawatannya ke Rumah Putih pada Selasa.
"Kami tidak mempunyai kapasiti ketenteraan ofensif dalam apa jua bentuk, jadi jelas ia bukan sesuatu yang ada dalam agenda kami," katanya.
Beberapa negara Eropah juga telah menolak desakan AS untuk mengerahkan pasukan tentera laut di Selat Hormuz, sambil menegaskan mereka tidak mahu terlibat secara ketenteraan dalam konflik yang semakin meruncing dengan Iran.
Terdahulu pada Isnin, Presiden AS Donald Trump berkata "banyak negara" sedang bersedia untuk membantu AS membuka semula Selat Hormuz, tetapi tidak menamakan mereka, menyatakan bimbang mereka boleh menjadi sasaran Iran.
Selat Hormuz menjadi pusat kebimbangan pasaran tenaga global sejak Kor Pengawal Revolusi Islam mengumumkan penutupannya kepada kebanyakan kapal ketika serangan berterusan AS-Israel ke atas Iran yang bermula pada 28 Feb.
Sebelum perang bermula, kira-kira 20 juta tong minyak melalui selat itu setiap hari. Gangguan terhadapnya telah mendorong peningkatan harga minyak.
Serangan AS-Israel yang berterusan ke atas Iran setakat ini telah membunuh kira-kira 1,300 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran sebelum ini Ali Khamenei.
Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.
-- BERNAMA-ANADOLU