ISTANBUL: Iraq akan membuka semula ruang udaranya mulai Rabu susulan pengumuman gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.
Menurut Agensi Berita Iraq, keputusan itu dibuat selepas beberapa minggu penutupan yang dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga susulan peningkatan konflik serantau, dengan pegawai berulang kali menyatakan risiko keselamatan terhadap penerbangan awam.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan pada Selasa yang beliau bersetuju “untuk menangguhkan pengeboman dan serangan ke atas Iran selama tempoh dua minggu.”
Pengumuman itu dibuat kurang daripada dua jam sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh Trump kepada Iran untuk membuka semula selat itu dan menerima satu perjanjian atau berdepan dengan apa yang disifatkannya sebagai kemusnahan “seluruh tamadun.”
Ketegangan serantau meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Feb, yang mengorbankan lebih 1,400 orang setakat ini, termasuk Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.
Iran pula membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS. Ia juga mengehadkan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz.
-- BERNAMA-ANADOLU