TEHRAN: Iran mengumumkan penubuhan majlis khas yang dianggotai Presiden Masoud Pezeshkian, ketua badan kehakiman, dan seorang ulama Majlis Pengawal bagi memantau peralihan kuasa susulan kematian Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.
Majlis itu ditubuhkan bagi memastikan pentadbiran negara terus berjalan sementara proses melantik pemimpin agung baharu dimulakan mengikut peruntukan undang-undang tertinggi negara, lapor BBC.
Dalam masa sama, Majlis Pakar Kepimpinan yang dianggotai golongan ulama kini memikul tanggungjawab penting untuk memilih pengganti Khamenei sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.
Namun, usaha menghimpunkan ahli majlis berkenaan dijangka berdepan cabaran keselamatan berikutan Iran sedang berada di bawah serangan ketenteraan hebat oleh Amerika Syarikat dan Israel.
Risiko serangan udara yang masih berlaku di beberapa wilayah utama menyebabkan keselamatan ahli majlis menjadi keutamaan.
Sejarah mencatatkan bahawa Khamenei dilantik memegang jawatan tersebut pada hari sama pengasas Republik Islam, Ayatollah Ruhollah Khomeini meninggal dunia bagi mengelakkan kekosongan kuasa.
Bagaimanapun, situasi semasa yang dibayangi konflik bersenjata serta kerosakan infrastruktur awam dan strategik dilaporkan merumitkan prosedur peralihan kali ini.
Setakat ini, pihak berkuasa Tehran belum mendedahkan lokasi atau garis masa rasmi bagi mesyuarat Majlis Pakar atas faktor kerahsiaan dan keselamatan negara.