Skip to main content

Dunia

Iran beri isyarat sedia sambung semula rundingan jika Washington ubah pendirian

Iranian Foreign Minister Abbas Araghchi looks on during a meeting with Director General of the International Atomic Energy Agency (IAEA) Rafael Grossi, and Egyptian Foreign Minister Badr Abdelatty, at Tahrir Palace in Cairo, on Sep 9, 2025. (File photo: AP/Khaled Elfiqi)
Araghchi berkata Iran menyertai rundingan terbaharu yang dimediasi Pakistan dengan niat baik. - Foto fail/AP

HAMILTON: Diplomat tertinggi Iran berkata Tehran bersedia kembali ke meja rundingan dengan Amerika Syarikat (AS), tetapi hanya jika Washington menghentikan “pendekatan melampau” dan “retorik ugutan”, lapor Anadolu Ajansi memetik media Iran.

Penyiar antarabangsa milik kerajaan Iran, PressTV melaporkan Menteri Luar Abbas Araghchi membuat kenyataan itu ketika memaklumkan rakan sejawatnya di Turkiye, Qatar, Arab Saudi, Mesir, Iraq dan Azerbaijan mengenai perkembangan terkini dalam proses diplomatik yang rapuh.

Sambil menegaskan Iran tidak memulakan perang dan angkatan tenteranya kekal bersiap siaga sepenuhnya untuk mempertahankan negara daripada sebarang ancaman ketenteraan baharu, Araghchi berkata Iran menyertai rundingan terbaharu yang dimediasi Pakistan dengan niat baik, meskipun wujud keraguan mendalam terhadap Washington susulan apa yang disifatkannya sebagai kegagalan berulang untuk menunaikan komitmen terdahulu.

AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb, mencetuskan tindakan balas Tehran terhadap sekutu AS di Teluk serta penutupan Selat Hormuz.

Gencatan senjata diumumkan pada 8 April melalui mediasi Pakistan, diikuti rundingan di Islamabad pada 11 hingga 12 April, namun perjanjian tidak dapat dicapai.

Presiden AS Donald Trump kemudian melanjutkan gencatan senjata itu secara unilateral tanpa menetapkan tempoh baharu, atas permintaan Pakistan.

Menurut agensi berita rasmi Iran (IRNA), Iran mengemukakan cadangan baharu kepada Pakistan pada Khamis untuk menyambung semula rundingan dengan AS bagi mencapai persetujuan menamatkan perang.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video