TEHRAN: Pemimpin Ketiga Revolusi Islam Ayatollah Seyyed Mojtaba Khamenei dalam ucapan sulungnya berkata Iran akan membalas dendam terhadap darah para pejuang yang syahid, terutama syuhada Minab, Mehr News Agency (MNA) melaporkan.
Beliau turut memuji usaha Angkatan Bersenjata Iran yang dengan gagah mempertahankan tanah air dan membalas serangan musuh.
Menyantuni mereka yang menjadi mangsa serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran, beliau berharap mereka bersabar dan memberi jaminan kepada seluruh negara bahawa Iran tidak akan meninggalkan usaha untuk membalas dendam atas syuhada Iran.
Beliau seterusnya berkata Iran mahu menjalinkan hubungan mesra dengan negara jiran dan tidak menyerang jirannya tetapi menyasarkan pangkalan AS kerana musuh menyerang Iran dari kawasan terbabit.
“Kami akan menuntut ganti rugi daripada musuh. Sekiranya ia enggan, kami akan merampas hartanya sebanyak yang kami fikirkan perlu, dan sekiranya itu tidak dapat dilaksanakan, kami akan memusnahkan jumlah yang setara dengan hartanya."
Beliau turut mengucapkan terima kasih setulus hati kepada para pejuang Resistance Front.
“Kami menganggap negara-negara Resistance Front sebagai kawan baik kami, dan punca penentangan serta Resistance Front adalah bahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada nilai-nilai Revolusi Islam.
“Tidak disangkal lagi, solidariti dalam kalangan komponen barisan hadapan ini akan memendekkan jalan menuju pembebasan daripada hasutan Zionis; sama seperti yang kita lihat Yaman yang berani dan setia tetap mempertahankan rakyat Gaza yang tertindas, dan Hezbollah yang mengorbankan diri, walaupun menghadapi segala rintangan, telah datang untuk membantu Republik Islam, dan angkatan penentangan Iraq yang berani juga telah dengan tegas memilih jalan yang sama,” tambahnya.
-- BERNAMA-MNA