Skip to main content

Dunia

Indonesia rancang beli minyak Rusia, Pertamina patuh arahan pemerintah

71472702837_Pertamina.jpg
Sebagai perusahaan milik negara yang menguruskan tenaga nasional, Pertamina akan mengambil tindakan susulan selaras dengan arahan dan peraturan yang ditetapkan. - Gambar fail

JAKARTA: Indonesia merancang untuk membeli minyak dari Rusia, dengan PT Pertamina bersedia untuk mematuhi arahan serta peraturan pemerintah berhubung perkara itu.

Naib Presiden Komunikasi Korporat Pertamina, Muhammad Baron berkata inisiatif berkenaan kini masih di peringkat penelitian oleh pihak kerajaan.

“Sebagai perusahaan milik negara yang menguruskan tenaga nasional, Pertamina akan mengambil tindakan susulan selaras dengan arahan dan peraturan yang ditetapkan,” katanya memetik laporan agensi berita ANTARA pada Selasa.

Baron berkata Pertamina sentiasa terbuka kepada pelbagai peluang kerjasama bagi memastikan daya tahan dan kelestarian bekalan tenaga negara.

Mengenai kesesuaian minyak mentah Rusia untuk diproses di loji penapisan Pertamina, beliau berkata syarikat itu akan menjalankan kajian lanjut.

“Kami akan mengkaji jenis minyak mentah berkenaan. Dengan pemodenan loji penapisan, loji-loji milik Pertamina dijangka mempunyai fleksibiliti untuk memproses pelbagai jenis minyak mentah pada masa hadapan,” katanya.

Presiden Indonesia Prabowo Subianto bersama delegasinya, termasuk Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Bahlil Lahadalia, berada di Rusia pada 13 April dan telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Antara lain, mesyuarat itu membincangkan kerjasama tenaga termasuk pembangunan loji penapisan, memperkukuh perdagangan minyak, dan meningkatkan penggunaan teknologi tenaga.

-- BERNAMA

Must Watch Video