JAKARTA: Indonesia telah meminta Meta dan Google melengkapkan serta menyerahkan semua dokumen yang diperlukan selepas pihak berkuasa menyoal siasat syarikat berkenaan berhubung dakwaan pelanggaran peraturan perlindungan kanak-kanak di bawah Peraturan Kerajaan mengenai Tadbir Urus Pengendalian Sistem Elektronik dalam Perlindungan Kanak-Kanak (PP Tunas).
Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital, Meutya Hafid berkata pada Rabu bahawa kedua-dua gergasi teknologi itu sebelum ini disoal siasat oleh pegawai berhubung dakwaan pelanggaran peraturan berkenaan dalam sesi yang diadakan pada Isnin dan Selasa, lapor Agensi Berita ANTARA.
Beliau berkata, kementerian sedang menunggu perkembangan lanjut berhubung tahap pematuhan kedua-dua platform terhadap peruntukan di bawah PP Tunas.
Indonesia secara rasmi melarang penggunaan media sosial untuk kanak-kanak di bawah umur 16 tahun apabila ia mula melaksanakan PP Tunas pada 28 Mac lepas, iaitu dasar yang mewajibkan penyahaktifan akaun pengguna bawah umur secara berperingkat pada platform berisiko tinggi.
Terdahulu, Ketua Pengarah Penyeliaan Ruang Digital kementerian berkenaan, Alexander Sabar berkata, Meta dan Google telah disoal siasat secara berasingan di pejabat kementerian, yang menyaksikan kedua-duanya diajukan 29 soalan bagi menyiasat dakwaan pelanggaran peraturan yang terpakai di Indonesia.
Notis panggilan itu dikeluarkan selepas kedua-dua syarikat didapati tidak mematuhi peruntukan di bawah PP Tunas serta peraturan pelaksanaannya, iaitu Peraturan Menteri No. 9 Tahun 2026.
Di bawah peraturan itu, platform yang dikendalikan oleh Meta, termasuk Facebook, Instagram dan Threads, serta YouTube milik Google, dikategorikan sebagai berisiko tinggi dan dikehendaki mengehadkan akses kanak-kanak kepada perkhidmatan mereka.
-- BERNAMA