WASHINGTON: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran kepada kerajaan Eropah supaya tidak mengambil langkah sementara seperti pengurangan cukai bahan api bagi meredakan kesan harga tenaga yang tinggi susulan konflik di Asia Barat, dengan menyatakan langkah sedemikian tidak cekap dan kurang bersasar, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Walaupun pembuat dasar mungkin terdorong mengekang kenaikan harga melalui had harga atau pengurangan duti bahan api, IMF dalam taklimat mengenai Eropah menyatakan bahawa “langkah-langkah ini tidak wajar.”
Sokongan secara meluas memberi manfaat secara tidak seimbang kepada isi rumah berpendapatan tinggi yang lazimnya menggunakan lebih banyak tenaga, menurut analisis yang dikeluarkan pada Jumaat.
IMF membuat penilaian itu berdasarkan pengalaman daripada krisis tenaga yang tercetus akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Ia menggesa kerajaan supaya tidak mengulangi apa yang disifatkannya sebagai “kesilapan yang mahal.”
“Langkah sokongan berskala besar dan tanpa had tempoh sukar ditamatkan dan perlu dielakkan,” menurut institusi berpangkalan di Washington itu yang juga pemantau ekonomi global.
IMF menambah bahawa dasar sedemikian turut melemahkan insentif kepada isi rumah dan perniagaan untuk mengurangkan penggunaan atau melabur dalam alternatif serta kecekapan tenaga.
Menurut data IMF, kerajaan Eropah membelanjakan purata 2.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi pakej bantuan tenaga semasa krisis 2022 yang tercetus akibat konflik di Ukraine.
Lebih dua pertiga daripada perbelanjaan sokongan itu tidak disasarkan, menurut organisasi berkenaan.
Analisisnya mendapati hanya 0.9 peratus daripada KDNK sudah memadai untuk mengimbangi sepenuhnya kenaikan kos tenaga bagi 40 peratus isi rumah berpendapatan terendah.
Di Jerman, ekonomi terbesar Eropah, gabungan kerajaan mencadangkan pengurangan cukai diesel dan petrol sekitar €0.17 (US$0.20) seliter, termasuk cukai nilai tambah (VAT), bagi tempoh terhad dua bulan susulan gangguan bekalan tenaga terkini akibat konflik AS-Israel dengan Iran.
Di bawah cadangan draf itu, kadar yang dikurangkan akan berkuat kuasa dari 1 Mei hingga 30 Jun.
Parlimen kini sedang mempertimbangkan pelan itu dan kelulusan mungkin diberikan minggu depan.
-- BERNAMA-dpa