Skip to main content

Dunia

Hizbullah dakwa lancar lebih 30 serangan ke atas Israel

Streaks of light illuminate the sky during an interception attempt, amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, as seen from Ashkelon, Israel, March 28, 2026. REUTERS/Amir Cohen
Ketegangan itu berlaku ketika serangan bersama Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran yang telah mengorbankan lebih 1,340 orang sejak 28 Feb. - Gambar fail/ Reuters

ISTANBUL: Hizbullah mendakwa pada Sabtu, pihaknya melancarkan 32 serangan dalam tempoh 24 jam terakhir, menyasarkan pangkalan, tentera dan kenderaan Israel dengan roket, dron dan artileri, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut kumpulan itu, serangan berkenaan adalah "untuk mempertahankan Lubnan dan rakyatnya" ketika serangan Israel ke atas Lubnan berterusan.

Menurut kenyataan, operasi itu menyasarkan pangkalan tentera, ketumbukan tentera dan kenderaan berperisai di selatan Lubnan dan utara Israel.

Kumpulan itu menyatakan ia menyerang pangkalan Mishar, yang disifatkannya sebagai ibu pejabat perisikan utama untuk wilayah utara Israel dan pangkalan Dado, ibu pejabat Komando Utara tentera Israel.

Menurut Hizbullah, ia menyasarkan pesawat peninjau RC-12 Israel di Bekaa barat di timur Lubnan justeru memaksanya berundur.

Kumpulan itu berkata ia merempuh sebuah kenderaan Hummer dan tujuh kereta kebal Merkava di bandar selatan Lubnan iaitu Qantara, Dibel dan Bayyada. 

Ia juga melaporkan pertempuran dengan tentera Israel di beberapa kawasan di selatan Lubnan, termasuk Taybeh, Bayyada, Qantara dan Shamaa.

Menurut Tentera Israel, sembilan askar termasuk dua pegawai cedera pada Sabtu selepas roket ditembak dari selatan Lubnan.

Penyiar awam Israel Kan melaporkan tujuh askar dan dua pegawai cedera selepas roket dilancarkan ke arah mereka dari selatan Lubnan, tanpa menyatakan sama ada kecederaan berpunca daripada hentaman langsung atau serpihan pemintas yang jatuh.

Israel menyerang Lubnan dengan serangan udara dan melancarkan serangan darat di selatan Lubnan sejak serangan rentas sempadan oleh Hizbullah pada 2 Mac.

Pihak berkuasa Lubnan berkata sekurang-kurangnya 1,189 orang telah terbunuh dan 3,427 cedera dalam serangan Israel.

Ketegangan itu berlaku ketika serangan bersama Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran yang telah mengorbankan lebih 1,340 orang sejak 28 Feb.

Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan pangkalan Israel dan AS di negara-negara Teluk.

 

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video