Skip to main content

Dunia

Harga minyak dunia meningkat susulan ucapan Trump

71744295656_minyakpetrol.jpg
Sepanjang ucapan tersebut, harga berlegar tidak menentu sebelum mencatat kenaikan dan kini meningkat kira-kira 4 peratus kepada AS$105.38 setong. - Gambar hiasan/AP

LONDON: Harga minyak mentah global meningkat susulan ucapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang gagal meredakan kebimbangan pasaran terhadap gangguan berterusan di Selat Hormuz, laluan perkapalan tenaga utama dunia.

Harga penanda aras minyak mentah Brent diniagakan sekitar AS$100 setong sebelum Trump menyampaikan ucapannya.

Sepanjang ucapan tersebut, harga berlegar tidak menentu sebelum mencatat kenaikan dan kini meningkat kira-kira 4 peratus kepada AS$105.38 setong.

Penganalisis berkata kenyataan Trump tidak memberikan jaminan yang meyakinkan bahawa ketegangan di Selat Hormuz akan reda dalam masa terdekat, sekali gus mendorong sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur tenaga.

Selat Hormuz mempunyai kepentingan strategik kepada ekonomi global kerana sekitar 20 peratus bekalan tenaga dunia biasanya melalui laluan perairan sempit itu.

Namun, laluan berkenaan dilaporkan hampir lumpuh sejak konflik tercetus pada 28 Februari.

Iran sebelum ini mengancam untuk menyerang kapal-kapal yang menggunakan Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan udara AS dan Israel, sekali gus mencetuskan kebimbangan gangguan bekalan tenaga global yang berpanjangan.
 

Must Watch Video