ISTANBUL: Harga dan bekalan bahan api jet akan mengambil masa berbulan-bulan untuk kembali normal walaupun Selat Hormuz telah dibuka dan kekal dibuka, menurut Ketua Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ketua IATA itu berkata meskipun harga minyak mentah mencatatkan penurunan sekitar 15 peratus susulan pengumuman baru-baru ini, usaha memulihkan bekalan global bagi bahan api jet dan produk bertapis lain memerlukan tempoh yang lebih lama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Data Dunia IATA di Singapura.
Tegas beliau, rantau Asia Barat merupakan bahagian kritikal dalam rantaian bekalan global, justeru proses pemulihan tidak akan berlaku dalam masa beberapa minggu sahaja walaupun terdapat kesan positif awal terhadap harga.
Beliau turut menarik perhatian bahawa wujud korelasi hampir langsung antara harga minyak dengan harga tiket penerbangan.
Isu utamanya adalah mengenai tempoh masa yang diperlukan untuk tindakan pelarasan harga oleh industri dizahirkan dalam pendapatan sebenar, katanya.
-- BERNAMA-ANADOLU