NEGROS: Gunung Kanlaon di wilayah Negros, Filipina dilaporkan meletus pada Khamis, menyebabkan kepulan abu tebal menjulang tinggi kira‑kira 2,000 meter dan dapat dilihat dari jarak lebih lima batu.
Menurut pihak berkuasa pemantauan gunung berapi Filipina (PHIVOLCS), letusan bermula pada jam 4.38 petang waktu tempatan.
PHIVOLCS dalam kenyataan memaklumkan berlakunya aliran piroklastik (PDC) sejauh satu kilometer dari puncak, menghala ke arah barat daya.
LOOK: A moderately explosive eruption at the summit crater of Kanlaon Volcano occurred at 04:38 PM today (19 February 2026) and lasted two (2 minutes) based on the seismic record. This event generated a dark gray eruption plume that rose 2,000 meters above the crater before… pic.twitter.com/7IifdnThXV
— PHIVOLCS-DOST (@phivolcs_dost) February 19, 2026
Susulan itu, pihak berkuasa tempatan mengaktifkan pemindahan penduduk dari zon bahaya kekal (PDZ) dalam lingkungan empat kilometer.
Agensi itu turut memberi amaran bahawa abu tebal boleh menjejaskan pernafasan dan mengurangkan jarak penglihatan.
Kepulan abu tebal jelas kelihatan dari beberapa bandar berhampiran, sekali gus mencetuskan kebimbangan apabila ramalan cuaca menjangkakan berlaku hujan pada lewat hari ini.
Datuk Bandar Canlaon City, Jose Chubasco Cardenas, berkata pihaknya bimbang kemungkinan berlakunya aliran lahar jika hujan lebat turun malam ini.
“Yang merisaukan ialah jika hujan turun malam ini, kemungkinan aliran lahar itu ada,” katanya dalam temu bual radio tempatan.
Gunung Kanlaon, antara 24 gunung berapi aktif di Filipina, menunjukkan peningkatan aktiviti sejak akhir 2025, termasuk letusan kecil dan pelepasan kepulan asap panas.
Letusan terbaharu ini juga berlaku selepas siri gegaran kecil yang direkodkan dalam beberapa hari sebelum ini.
PHIVOLCS mengekalkan Status Amaran Tahap 2, menandakan aktiviti gunung berapi sedang meningkat dan kemungkinan letusan susulan tidak boleh diketepikan.
Penduduk dinasihatkan mematuhi arahan pemindahan, mengelak zon bahaya serta memakai pelitup N95 atau penutup wajah ketika hujan abu berlaku.