Skip to main content

Dunia

GSF 2.0: SNCC sahkan lapan rakyat Malaysia ditahan Israel

SNCC SAH 8 DITAHAN
Antara kapal terlibat termasuk Cactus, Zio Faster, Holy Blue, Ferluto, Kyriakos, Amanda, Blue Toys, Barbaris, Isobella, Josef dan Tenaz.- Foto SNCC
 

SEKURANG-KURANGNYA lapan rakyat Malaysia ditahan dalam insiden pemintasan flotila Global Sumud (GSF) oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus, setakat jam 6 petang waktu Malaysia.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby berkata insiden itu berlaku antara jam 3 hingga 6 petang waktu Malaysia.

"SNCC mengesahkan bermula jam 3.00 petang sehingga 6.00 petang waktu Malaysia, kapal Global Sumud Flotilla dihampiri secara agresif oleh tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.

"SNCC melaporkan bahawa pihak IOF melakukan pendekatan provokatif menggunakan beberapa buah bot laju jenis RIBs (Rigid Inflatable Boats) ke arah flotilla selain mengesan kehadiran dua (2) buah kapal perang (warship) dan sebuah kapal tahanan (prison ship) berhampiran kawasan operasi flotilla," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

SNCC memaklumkan sekurang-kurangnya 11 kapal telah dipintas, dihampiri atau diganggu dalam insiden tersebut, termasuk Cactus, Zio Faster, Holy Blue, Ferluto, Kyriakos, Amanda, Blue Toys, Barbaris, Isobella, Josef dan Tenaz.

Dalam perkembangan sama, SNCC mengesahkan lima kapal yang membawa delegasi Malaysia turut terlibat, dengan lapan rakyat Malaysia dikenal pasti berada di atas kapal yang terjejas.

Antara nama yang disenaraikan ialah Zainal Rashid Ahmad di kapal Amanda dan Muhamad Muhsin Zaidi di Isobella.

Turut berada di atas kapal Cactus, Ferluto dan Josef ialah Mohammad Shazly Mohammad Shees, Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari, Patmanathan Sivasamy, Syakirin Muhamed Senin, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar dan Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman.

SNCC turut memaklumkan dua kapal ditahan bersama delegasi antarabangsa dari Pakistan dan Indonesia, manakala 41 kapal lain termasuk yang membawa 21 rakyat Malaysia masih meneruskan pelayaran ke Gaza dalam keadaan berisiko tinggi.

"SNCC memantau rapat perkembangan terkini operasi flotila dan akan terus menyalurkan kemas kini rasmi dari semasa ke semasa berhubung status keselamatan serta pergerakan flotila.

"SNCC menyeru masyarakat antarabangsa, badan hak asasi manusia dan komuniti maritim dunia untuk memberi perhatian serius terhadap tindakan intimidasi dan ancaman keselamatan yang dihadapi oleh misi kemanusiaan awam ini di perairan antarabangsa," tambahnya.

Must Watch Video