WASHINGTON: Fasa awal konflik antara Amerika Syarikat dan Iran berakhir dengan pengumuman kemenangan oleh Presiden Donald Trump. Namun realitinya, gencatan senjata yang dicapai mencerminkan perang yang gagal mencapai matlamat asal.
Penganalisis risiko politik Ian Bremmer berkata, konflik berkenaan berakhir dengan kepimpinan Iran serta kelebihan strategiknya masih kekal utuh, walaupun berlaku kerosakan besar terhadap ekonomi dan infrastruktur negara itu.
Menurut beliau, gencatan senjata selama dua minggu itu menghentikan pertempuran yang sebelum ini menggoncang pasaran tenaga global serta mencetuskan kebimbangan perang lebih meluas di rantau Asia Barat.
“Perang ini adalah keputusan Presiden Trump yang dibuat secara unilateral,” kata Bremmer, yang juga Presiden Eurasia Group.
Beliau menjelaskan bahawa Trump turut menentukan objektif, masa dan skop konflik secara bersendirian, sebelum mengambil keputusan untuk meredakan ketegangan.
Bagaimanapun, Bremmer menegaskan dakwaan bahawa perubahan rejim di Iran telah berjaya dicapai adalah tidak tepat.
Menurutnya, konflik itu semakin memberi tekanan politik kepada Trump di dalam negara selain menghadkan keupayaan strategik Amerika Syarikat di peringkat antarabangsa.
“Trump memahami bahawa perang ini tidak berjalan dengan baik untuk beliau, ia tidak popular di Amerika Syarikat, mahal dan tiada laluan jelas untuk mencapai objektif ketenteraan tambahan yang bermakna,” katanya kepada Reuters, pada Rabu.
Walaupun Iran mengalami kerosakan ketara, struktur kuasa teras negara itu masih kekal, sekali gus mengekalkan pengaruhnya terhadap dinamik tenaga serantau serta risiko keselamatan.
Bremmer turut menganggarkan bahawa sekiranya gencatan senjata berterusan dan usaha pemulihan dilaksanakan, jumlah kerosakan ekonomi global akibat konflik ini boleh mencecah kira-kira satu perlima daripada kos global pandemik COVID-19.
Dalam masa sama, beliau berpandangan kesan geopolitik lebih luas konflik ini dilihat memihak kepada pesaing Amerika Syarikat, termasuk Rusia yang mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak, serta China yang berpotensi muncul sebagai penerima faedah jangka panjang.
Menurutnya, pendekatan Washington yang semakin bersifat jangka pendek dan tertumpu kepada isu domestik turut menyumbang kepada perubahan keseimbangan kuasa global.