Skip to main content

Dunia

Gempa magnitud 5.2 gegar selatan China, sekurang-kurangnya dua maut

Earthquake hits China -- Sceenshot USGS
Gempa bumi bermagnitud 5.2 menggegarkan bandar Liuzhou di wilayah Guangxi, selatan China, awal pagi Isnin. -Foto USGS

BEIJING: Sekurang-kurangnya dua maut manakala ribuan lagi dipindahkan selepas gempa bumi bermagnitud 5.2 menggegarkan bandar Liuzhou di wilayah Guangxi, selatan China, awal pagi Isnin.

Dua mangsa maut merupakan sepasang suami isteri warga emas masing-masing berusia 63 dan 53 tahun. Selain itu, empat mangsa dimasukkan ke hospital akibat kecederaan ringan, dan satu mangsa masih belum ditemukan.

Agensi pengurusan bencana tempatan melaporkan kejadian itu turut menyebabkan kerosakan struktur termasuk runtuhan bangunan lama di kawasan berhampiran pusat gempa.

Pasukan penyelamat, bomba, dan perubatan dikerah ke zon bencana bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan konkrit.

"Pihak berkuasa telah mengaktifkan pelan kecemasan tahap maksimum dengan membuka pusat perlindungan sementara bagi menempatkan ribuan penduduk yang diarahkan berpindah dari kediaman masing-masing atas faktor keselamatan," lapor agensi berita Xinhua.

Image
Rescue workers walk past a damaged building following an earthquake at Taiyang village in Liuzhou, Guangxi Zhuang Autonomous Region, China May 18, 2026. cnsphoto via REUTERS

Imej dari lokasi kejadian menunjukkan kepulan debu susulan runtuhan sebahagian premis, selain rekahan pada permukaan jalan raya utama.

Sementara itu, pakar seismologi daripada Pentadbiran Gempa Bumi China memberi amaran kemungkinan gempa susulan dalam tempoh 48 jam.

Setakat pagi ini, kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan serta pemulihan utiliti asas sedang giat dijalankan oleh agensi kejuruteraan awam tempatan bagi memastikan rantaian bantuan dapat disalurkan secara lancar.

 

Must Watch Video