MANILA: Kira-kira 22.58 juta liter diesel dihantar ke Filipina bagi menambah bekalan domestik ketika negara itu berdepan cabaran susulan konflik di Asia Barat, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Dalam hantaran Facebook pada Khamis malam, Jabatan Tenaga (DOE) memaklumkan, kira-kira 142,000 tong diesel itu diperoleh di bawah Program Keterjaminan Tenaga Kecemasan, yang diperuntukkan sebanyak 20 bilion peso (AS$360 juta).
Program itu merupakan sebahagian langkah kerajaan selaras dengan pengeluaran Perintah Eksekutif (EO) 110, yang mengisytiharkan darurat tenaga negara susulan kesan konflik berterusan di Asia Barat.
Kerajaan Filipina menyasarkan untuk memperoleh sehingga dua juta tong bekalan bahan api tambahan melalui Philippine National Oil Corporation (PNOC) dan PNOC Exploration Corporation (PNOC EC).
“DOE akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan bekalan bahan api domestik. Penghantaran segera diesel ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengelakkan gangguan terhadap perjalanan, pekerjaan dan kehidupan harian rakyat Filipina,” kata Setiausaha DOE Sharon Garin.
Garin, menerusi laman Facebook peribadinya berkata, ketibaan diesel itu merupakan penghantaran pertama dari luar negara dan berkata lebih banyak penghantaran akan tiba dalam beberapa hari atau minggu akan datang.
“Kami berusaha untuk ini selama tiga minggu, jadi bagi saya, ia kelihatan seperti kapal paling indah pernah dilihat,” katanya.
-- BERNAMA-PNA