ROM: Empat mayat lelaki rentung ditemukan di dalam sebuah kereta terbakar di sebuah stesen minyak di Itali, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Mayat berkenaan ditemukan di dalam kenderaan itu selepas ia terbakar di sebuah stesen minyak di pekan kecil Amendolara di selatan Itali.
Menurut laporan awal polis, mangsa dipercayai pendatang dari Pakistan.
Mereka dipercayai bekerja berhampiran kawasan itu sebagai pekerja ladang bermusim.
Ramai pekerja dari Asia diambil bekerja dalam sektor pertanian di wilayah berkenaan dengan gaji rendah dan keadaan kerja yang kurang baik.
Keadaan sebenar yang membawa kepada penemuan mayat itu masih belum jelas.
Pihak berkuasa memaklumkan siasatan sedang dijalankan dari semua sudut.
Mayat ditemukan anggota bomba yang dipanggil ke lokasi kira-kira 1 tengah hari (1100 GMT).
Stesen minyak yang terletak di jalan utama berhampiran pantai itu telah dipasang garisan polis.
-- BERNAMA-dpa