Skip to main content

Dunia

Elon Musk akan bayar balik hutang AS$3 bilion lebih awal - Laporan

FILE PHOTO: A 3D-printed miniature model of Elon Musk and xAI logo are seen in this illustration created on February 16, 2025. REUTERS/Dado Ruvic/Illustration//File Photo
Pemilik syarikat kecerdasan buatan xAI, Elon Musk merancang untuk membayar balik 3 bilion dolar AS bon hasil tinggi lebih awal. - Gambar Reuters

NEW YORK: Pemilik syarikat kecerdasan buatan xAI, Elon Musk merancang untuk membayar balik 3 bilion dolar AS bon hasil tinggi lebih awal, lapor Bloomberg News pada Isnin, memetik individu yang mengetahui perkara tersebut.

Apabila sesebuah syarikat membayar balik pinjaman sebelum jadual, ia biasanya perlu membayar penalti kepada pelabur serta faedah yang pada asalnya dijangka diperoleh pemberi pinjaman sepanjang tempoh yang telah dipersetujui.

Menurut laporan itu, nota hutang tersebut melonjak kira-kira tiga mata pada Isnin kepada sekitar 1.17 dolar AS bagi setiap 1 dolar AS, memetik data harga Trace. 

Sekuriti itu dijual pada Jun 2025 dengan struktur yang menunjukkan bahawa hutang tersebut dijangka kekal belum dijelaskan sekurang-kurangnya selama dua tahun.

Morgan Stanley mengetuai pakej hutang berjumlah 5 bilion dolar AS untuk xAI tahun lalu yang terdiri daripada bon hasil tinggi dan pinjaman yang direka untuk menyokong pengembangan agresif syarikat itu dalam bidang kecerdasan buatan.

Pada Februari, SpaceX mengambil alih syarikat permulaan kecerdasan buatan itu dalam satu urus niaga rekod yang memberi nilai 250 bilion dolar kepada xAI, sekali gus memberikan syarikat pembuat roket itu lebih fleksibiliti untuk merombak struktur modal xAI.

SpaceX sedang mempersiapkan penyenaraian awam berskala besar akhir tahun ini, yang boleh menilai syarikat itu lebih 1.5 trilion dolar AS.

Dengan gabungan perniagaan yang memegang jumlah hutang yang besar, jurubank sedang merangka pelan pembiayaan yang boleh mengurangkan sebahagian kos faedah tinggi yang ditanggung syarikat-syarikat tersebut dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kata laporan Bloomberg itu.

Sehingga kini, baik xAI mahupun Morgan Stanley belum mengeluarkan apa-apa maklum balas mengenai laporan ini. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found