KUALA LUMPUR: Komuniti antarabangsa mungkin akan beralih kepada bekalan minyak daripada kapal-kapal hantu untuk memenuhi permintaan domestik.
Pensyarah Pengajian Keselamatan Antarabangsa Universiti Emiriah Arab Bersatu, Prof. Mohd Mizan Aslam berkata, kapal-kapal hantu ini datang daripada negara-negara yang berdepan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat (AS) seperti Iran dan Rusia.
"Kita juga harus faham bahawa negara-negara yang disekat; Iran dan Rusia, ada istilah ‘kapal hantu’ (shadow fleet), yang memainkan peranan signifikan. Dapatan saya melalui kajian dan pembacaan, di Rusia lebih 50 peratus aliran keluar minyak digerakkan oleh ‘kapal hantu’ ini.
"Saya juga berkesempatan ke Iran, saya lihat banyak minyak keluar daripada Iran dengan menggunakan kapal yang kita sangsi pendaftarannya. Tetapi inilah yang mereka lakukan demi kelangsungan. Kalau tidak mereka akan terperangkap akibat sekatan AS,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Dalam temu bual sama, Pengerusi Khazanah Research Institute (KRI), Nungsari Ahmad Radhi pula berkata, strategi untuk menangani cabaran gangguan bekalan minyak ini perlu melihat kepada pengalaman Malaysia berdepan krisis minyak pada tahun 1973.
"Pada 1973 yang mana Israel berperang dengan Israel, inflasi di Malaysia meningkat 18 peratus. Itu satu episod yang kita boleh gunakan sebagai tanda aras. Kita bukan hendak keadaan jadi seperti itu, tetapi kita perlu bersedia.
“Pada tahun 1974 dan 1975, pemulihan berlaku dengan baik; ambil masa dalam setahun dua. Saya memikirkan tentang persediaan dan pilihan-pilihan yang kita ada,” ujarnya.
Untuk konteks, AS dan Israel melancarkan serangan tanpa provokasi ke atas Iran pada 28 Februari lalu yang menyebabkan kematian pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Selain itu, sejak 12 hari lalu, kedua-dua pihak berbalas serangan dengan AS mendakwa telah melumpuhkan keupayaan tentera udara dan laut Iran. Manakala, Iran menyasarkan aset ketenteraan AS di negara-negara teluk, serta menyasarkan negara haram Israel.
Dalam pada itu, Iran telah bertindak menghalang kapal pengangkut minyak daripada melintasi Selat Hormuz yang merupakan laluan utama bekalan minyak keluar daripada negara-negara pembekal di Teluk Parsi.
Tindakan Iran telah menyebabkan gangguan bekalan minyak global, memandangkan kira-kira 20 peratus daripada perdagangan komoditi berkenaan dieksport dari rantau berkenaan.