Skip to main content

Dunia

Artemis II: NASA sasar awal April untuk misi ke bulan

Sumber: NASA
Misi Artemis II yang akan dilancarkan April ini akan menjadi misi pertama ke Bulan sejak Apollo 17 pada tahun 1972. - Foto NASA

FLORIDA: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) menyasarkan awal April ini sebagai tarikh pelancaran misi Artemis II, yang bakal menghantar empat angkasawan mengelilingi Bulan, misi pertama seumpama itu dalam lebih lima dekad.

Persiapan pelancaran itu sebelum ini tertangguh selepas kebocoran helium dikesan pada roket Space Launch System (SLS), menyebabkan ia dibawa semula ke Vehicle Assembly Building di Cape Canaveral, Florida, untuk kerja-kerja pembaikan.

NASA memaklumkan, masalah tersebut telah diselesaikan dan merancang menggulung semula roket ke tapak pelancaran pada 19 Mac, dengan peluang pelancaran terawal pada 1 April.

Misi selama 10 hari itu akan membawa empat angkasawan iaitu Reid Wiseman,
Victor Glover, Christina Koch dan Jeremy Hansen (Kanada).

Kesemua mereka akan menjadi manusia pertama menaiki roket mega SLS dan kapal angkasa Orion dalam penerbangan berawak ke arah Bulan.

Mereka dijadualkan mengelilingi bahagian jauh Bulan sebelum kembali ke Bumi.

Dalam sidang media terkini, NASA menegaskan pasukan kejuruteraan sedang memberi perhatian penuh terhadap semua potensi risiko.

Pengerusi Pasukan Pengurusan Misi Artemis II, John Honeycutt berkata, pembinaan roket baharu secara tradisi membawa kadar risiko yang tinggi, namun pihaknya yakin sistem SLS berada pada tahap keselamatan lebih baik daripada standard bersejarah.

Menurut beliau, NASA sentiasa mengambil langkah pengurangan risiko secara menyeluruh melalui kawalan teknikal dan ujian berkala.

NASA juga mengesahkan tidak akan menjalankan ujian pengisian bahan api penuh atau wet dress rehearsal selepas roket berada di pad pelancaran.

Menurut Lori Glaze daripada Exploration Systems Development Mission Directorate, ujian tersebut tidak lagi dijangka memberi maklumat baharu yang signifikan.

Beliau, bagaimanapun menegaskan, masih terdapat beberapa kerja yang perlu diselesaikan sebelum tarikh pelancaran dapat disahkan sepenuhnya.

NASA kini berdepan tekanan jadual selepas misi Artemis II tertangguh hampir dua tahun akibat isu perisai haba pada Artemis I.

Pada Disember 2024, NASA menetapkan sasaran untuk memastikan Artemis II dilancarkan sebelum akhir April 2026.

Buat masa ini, fokus agensi itu kekal pada jendela pelancaran awal April, selagi semua komponen memenuhi syarat keselamatan. - Agensi

Must Watch Video