Skip to main content

Dunia

Disangka maut di tangan Zionis, rupanya ditahan di penjara Israel: Kisah seorang ibu di Gaza dan anak yang 'hilang'

Gaza mother Maha Abu Shaar holds her phone displaying a photo of her son Eid as she cries with joy and sadness after discovering he is alive but in an Israeli prison [Screengrab/Al Jazeera]
Maha Abu Shaar memegang telefonnya yang memaparkan gambar anak lelakinya, Eid, sambil menangis kegembiraan bercampur pilu selepas mengetahui anaknya masih hidup, namun kini ditahan dalam penjara Israel. - Gambar tangkap layar

GAZA: Selepas 18 bulan melakukan pencarian dan berkabung, sebuah keluarga Palestin menerima panggilan telefon yang mengesahkan anak lelaki mereka sebenarnya masih hidup dan ditahan di Penjara Ofer, Israel.

Selama tempoh itu, keluarga Eid Nael Abu Shaar, 25 tahun, berasal dari Gaza, menyangka anak sulung mereka telah meninggal dunia.

Mereka mencari jasadnya di rumah mayat, memohon sijil kematian dan membuka khemah berkabung sepuluh bulan selepas Eid dilaporkan hilang. 

Namun, satu panggilan tidak disangka daripada seorang peguam mengesahkan Eid masih hidup dan ditahan di Penjara Ofer, sekali gus menamatkan pencarian yang penuh penderitaan selama satu setengah tahun.

Penemuan itu memberi kelegaan buat keluarga berkenaan, namun pada masa sama menyerlahkan nasib ribuan lagi keluarga di Semenanjung Gaza yang masih menunggu khabar berita tentang ahli keluarga mereka yang hilang.

Nasib mereka kekal tidak diketahui, sama ada terperangkap di bawah runtuhan, dikebumikan di kubur besar tanpa identiti, atau ditahan di pusat tahanan Israel seperti Penjara Ofer, yang didakwa menjadi lokasi penyeksaan dan penahanan tanpa tempoh yang jelas.

Pencarian terdesak 

Eid dilaporkan hilang pada 15 Disember 2024 ketika sedang mencari pekerjaan bagi menyara keluarganya berhampiran Koridor Netzarim di tengah Gaza, yang turut dikenali sebagai “Paksi Kematian.”

Israel mewujudkan dan menduduki kawasan itu bagi memisahkan Gaza utara dan selatan, menjadikannya lokasi di mana ratusan rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, terbunuh atau hilang.

Bapa Eid, Nael Abu Shaar berkata, pencarian terhadap anaknya hampir menghancurkan semangat keluarganya.

“Saya tidur di hadapan pintu rumah mayat dan hospital,” katanya kepada Al Jazeera.

“Setiap kali diumumkan mayat tanpa identiti atau seorang syahid, saya berlari siang dan malam. Saya mencari di Hospital Al-Aqsa, al-Awda dan Nuseirat. Saya sendiri membuka peti sejuk rumah mayat, mencari sebarang tanda dirinya atau pakaiannya, namun tidak menemui apa-apa.”

Keluarga itu menghubungi Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan pertubuhan hak asasi manusia, namun usaha tersebut berakhir tanpa jawapan. 

Tanpa sebarang rekod penahanan, keluarga itu akhirnya akur dengan keadaan, membuka khemah berkabung dan memperoleh dokumen rasmi daripada Kementerian Kesihatan yang mengklasifikasikan Eid sebagai meninggal dunia.

‘Keajaiban’ diraikan dengan manisan

Namun ibu Eid, Maha Abu Shaar, tidak pernah kehilangan harapan bahawa anaknya masih hidup.

"Semua orang beritahu kami perlu menunaikan solat jenazah ghaib, tetapi saya menolak. Hati saya berkata Eid masih hidup,” katanya.

Harapan itu mula bercambah sebulan lalu apabila seorang bekas tahanan memaklumkan pernah bertemu seorang lelaki bernama Eid Abu Shaar di penjara.

Perkara tersebut disahkan pada Isnin oleh seorang peguam sekali gus, mencetuskan kegembiraan di Gaza.

Stesen televisyen Al Jazeera menyiarkan rakaman keluarga Abu Shaar dan jiran tetangga mengedarkan manisan di kediaman sederhana mereka, menukar lokasi berkabung menjadi sambutan terhadap apa yang disifatkan sebagai satu “keajaiban”.

Dakwaan penyembunyian sistematik

Walaupun kisah Eid membawa sedikit sinar harapan di tengah krisis kemanusiaan, Pengarah Pusat Palestin bagi Orang Hilang dan Dihilangkan Secara Paksa, Nada Nabil, berkata, ramai lagi keluarga masih terperangkap dalam ketidakpastian.

“Kes Eid Abu Shaar adalah sebahagian daripada pola yang jauh lebih besar,” katanya.

“Kami menganggarkan antara 7,000 hingga 8,000 rakyat Palestin kini dilaporkan hilang akibat perang, dengan sekitar 1,500 dipercayai dilesapkan secara paksa di dalam penjara Israel.”

Menurut Nabil, keengganan Israel memberikan maklumat mengenai tahanan bukan kelemahan pentadbiran, sebaliknya satu taktik ketenteraan yang disengajakan untuk memanjangkan penderitaan keluarga Palestin.

“Pihak pendudukan secara sengaja mengamalkan dasar kerahsiaan total untuk memperdalamkan kesakitan keluarga di Gaza. 

"Mengeluarkan senarai tahanan atau membenarkan akses ICRC adalah mudah, namun mereka memilih penyembunyian sebagai satu bentuk penyeksaan psikologi dan hukuman kolektif,” katanya.

Beban ‘dukacita tergantung’

Situasi itu menyebabkan keluarga mengalami keadaan yang dikenali ahli psikologi sebagai “dukacita tergantung” atau “kehilangan samar”, yang melumpuhkan kehidupan ribuan keluarga yang kehilangan orang tersayang tanpa kepastian.

Menurut Nabil, keluarga yang telah mengebumikan ahli keluarga lazimnya boleh meneruskan kehidupan, namun mereka yang masih menunggu khabar akan terus terperangkap antara harapan dan keputusasaan.

“Kesannya bukan sekadar psikologi, malah sosial dan perundangan,” katanya. 

“Isteri tidak pasti sama ada mereka balu atau masih berkahwin, yang menjejaskan isu seperti perkahwinan semula dan harta pusaka.”

Dalam keadaan perpindahan paksa yang sukar di Gaza, kehilangan seorang lelaki muda seperti Eid turut menambah beban fizikal dan ekonomi kepada ahli keluarga yang tinggal.

Lumpuhnya peranan antarabangsa dan ketakutan keluarga

Nabil turut mengkritik kegagalan organisasi antarabangsa yang beroperasi di Gaza, dengan mendakwa ICRC dihalang daripada melawat penjara Israel atau menerima senarai tahanan sejak bermulanya perang Israel ke atas Gaza.

“Kita hidup di dunia yang ditadbir oleh kuasa, bukan undang-undang,” katanya.

“Ketidakmampuan global memaksa Israel mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa menyebabkan penduduk Gaza terdedah kepada pelbagai pelanggaran.”

Lebih memilukan, banyak keluarga bimbang melaporkan kehilangan orang tersayang kerana takut menjadi sasaran serangan udara, manakala ada pula khuatir pendedahan nama tahanan akan membawa kepada penyeksaan lebih teruk.

Di rumah keluarga Abu Shaar, manisan masih diagihkan, namun kegembiraan itu tidak sepenuhnya sempurna.

“Saya gembira, tetapi hati saya kini lebih risau,” kata Maha. 

“Apabila saya tahu dia masih hidup, saya takut memikirkan apa yang sedang dialaminya di dalam sel penjara itu. Saya tidak akan benar-benar bahagia sehingga dapat memeluknya semula.” - Al Jazeera

Must Watch Video