Skip to main content

Dunia

Delegasi Iran tiba di Pakistan bagi rundingan kritikal dengan AS

A paramilitary soldier stands guard at a checkpoint to ensure security ahead of the United States and Iran possible negotiations in Pakistani capital, in Islamabad, Pakistan, Friday, April 10, 2026. (AP Photo/Anjum Naveed)
Seorang anggota separa tentera berkawal di sekatan jalan raya bagi memastikan keselamatan menjelang rundingan antara AS dan Iran di ibu negara Pakistan, Islamabad. - Foto AP

ISLAMABAD: Satu delegasi kanan Iran tiba di Pakistan pada Jumaat bagi menghadiri rundingan berprofil tinggi dengan Amerika Syarikat (AS) yang disifatkan sebagai peringkat penentuan sama ada konflik serantau yang berlarutan dapat ditamatkan atau kembali memuncak.

Media Iran melaporkan delegasi itu diketuai Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, dan turut disertai beberapa tokoh utama termasuk Menteri Luar Abbas Araghchi, Setiausaha Majlis Pertahanan Tertinggi Ali Akbar Ahmadian, Gabenor Bank Pusat Abdolnasser Hemmati serta beberapa ahli Parlimen kanan.

Kementerian Luar Pakistan mengesahkan ketibaan delegasi tersebut di Islamabad dan menyatakan rundingan dijangka bermula dalam masa terdekat di bawah pengantaraan kerajaan Pakistan.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, menyifatkan dialog antara Tehran dan Washington itu sebagai rundingan “hidup atau mati”, dengan kejayaannya dilihat penting untuk menukar gencatan senjata sementara kepada perjanjian damai yang berkekalan.

“Ini adalah saat yang amat kritikal. Dunia sedang memerhati, dan hasil rundingan ini boleh menentukan hala tuju keamanan serantau serta kestabilan global,” katanya dalam ucapan kepada rakyat Pakistan.

Rundingan itu berlangsung susulan pengumuman gencatan senjata dua minggu antara Iran dan AS awal minggu ini, selepas konflik ketenteraan selama beberapa minggu yang telah menggoncang Asia Barat, mengganggu bekalan tenaga global serta laluan perkapalan utama termasuk Selat Hormuz.

Pihak Iran menegaskan bahawa sebarang rundingan rasmi hanya akan diteruskan sekiranya Washington menerima beberapa prasyarat utama, termasuk jaminan keselamatan, pengurangan sekatan ekonomi serta komitmen AS untuk mengelakkan eskalasi lanjut di rantau berkenaan.

Sementara itu, delegasi AS dijangka diketuai oleh Naib Presiden JD Vance, menandakan tahap penglibatan paling tinggi antara kedua-dua negara sejak beberapa dekad lalu.

Penglibatan Pakistan sebagai pengantara dilihat penting memandangkan hubungan baiknya dengan kedua-dua pihak, serta peranannya dalam memudahkan gencatan senjata sementara yang dicapai baru-baru ini.

Langkah keselamatan ketat telah dilaksanakan di sekitar ibu negara Pakistan menjelang rundingan itu, dengan pihak berkuasa menutup beberapa jalan utama dan meningkatkan kawalan di kawasan diplomatik.

Penganalisis antarabangsa menyifatkan rundingan di Islamabad sebagai ujian besar kepada usaha diplomasi dalam mengekang konflik yang berisiko merebak serta memberi kesan meluas kepada ekonomi dan keselamatan global.
 

Must Watch Video