KUALA LUMPUR: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik di beberapa kawasan di Asia Barat serta ketegangan antara Afghanistan dan Pakistan supaya menghormati Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (UUKA).
Dalam kenyataan hari ini, BSMM menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan konflik yang semakin memuncak di kawasan berkenaan yang berpotensi mengancam keselamatan orang awam serta memburukkan lagi keadaan kemanusiaan bagi komuniti yang sudah berdepan pelbagai kesukaran.
“Menurut Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), peningkatan operasi ketenteraan di kawasan terjejas boleh memberi risiko besar kepada orang awam.
“Sehubungan itu, semua pihak yang terlibat diingatkan agar mematuhi UUKA termasuk memastikan perlindungan kepada orang awam, petugas perubatan serta kemudahan perkhidmatan penting,” menurut kenyataan itu.
Di kawasan yang terkesan, pasukan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah terus menjalankan usaha bantuan kemanusiaan bagi membantu mereka yang memerlukan, tertakluk kepada akses yang dibenarkan.
Antara usaha dilaksanakan ialah menyediakan rawatan perubatan kecemasan, memperkukuh tahap kesiapsiagaan serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyokong komuniti yang terjejas.
Pada masa sama, Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) turut bekerjasama rapat dengan Persatuan Kebangsaan di rantau berkenaan bagi menyelaras usaha bantuan serta memantau perkembangan keperluan kemanusiaan yang semakin mendesak.
Pengerusi Kebangsaan BSMM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dalam kenyataan sama berkata semua pihak perlu menghormati UUKA serta memberi laluan kepada pasukan kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan kecemasan.
“Fikiran dan doa kami bersama semua yang terjejas akibat konflik ini. Kami menyeru semua pihak agar menghormati UUKA, melindungi orang awam serta memberi laluan kepada pasukan kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan kecemasan yang amat diperlukan tanpa sebarang gangguan,” katanya.
BSMM turut menegaskan bahawa orang awam, petugas kemanusiaan, infrastruktur awam termasuk hospital dan kemudahan perubatan serta lambang Palang Merah dan Bulan Sabit Merah perlu dihormati dan dilindungi pada setiap masa.
-- BERNAMA