ISTANBUL: Amerika Syarikat (AS) telah membelanjakan kira-kira AS$25 bilion untuk peperangan menentang Iran, menurut seorang pegawai kanan Pentagon yang memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Dewan Perwakilan pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.
Pemangku Ketua Pegawai Kewangan jabatan itu, Jules W. Hurst III berkata, sebahagian besar daripada kos berkenaan berpunca daripada perbelanjaan bagi peluru dan bahan letupan.
Hurst berkata, kos operasi dan penyelenggaraan, serta penggantian peralatan turut menyumbang kepada jumlah keseluruhan perbelanjaan berkenaan.
Beliau berkata, agensi itu akan mengemukakan permohonan belanjawan tambahan rasmi kepada Kongres melalui White House sebaik sahaja "penilaian penuh mengenai kos konflik itu selesai dibuat."
Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth berkata, permohonan belanjawan sebanyak AS$1.5 trilion bagi tahun kewangan 2027 "mencerminkan keperluan mendesak ketika ini, bagi menangani masalah lama yang tertangguh, serta meletakkan kedudukan tentera kita untuk menghadapi pertempuran semasa dan masa hadapan."
Beliau mendakwa, pentadbiran terdahulu telah melemahkan asas industri pertahanan dengan dasar "America last" dan menyatakan bahawa pentadbiran Trump sedang mengembalikannya ke tahap "persediaan waktu perang."
Hegseth berkata, belanjawan baharu itu akan mengubah "kurangnya pelaburan dan salah urus selama empat tahun," selain memastikan AS "terus mengekalkan ketenteraan yang paling berkuasa dan berkemampuan di dunia ketika kita berdepan persekitaran ancaman yang kompleks merentasi pelbagai pentas."
Mengenai Ukraine, Hegseth mengkritik pentadbiran Joe Biden sebelum ini kerana menyediakan "ratusan bilion dolar senjata kita" tanpa akauntabiliti, sambil menyatakan beliau menyambut baik tindakan Eropah yang kini turut menyumbang kepada kos senjata yang dibekalkan kepada Kyiv.
Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jen. Dan Caine memberitahu jawatankuasa itu bahawa perubahan pantas dalam corak peperangan, termasuk kemajuan dalam sistem autonomi, sistem dasar laut, angkasa lepas, siber dan operasi maklumat memerlukan pelaburan modal yang lebih tinggi, dan belanjawan itu dirangka untuk mendahului hala tuju teknologi.
Ketika ditanya sama ada penempatan tiga kapal pengangkut pesawat di Asia Barat mendedahkan rantau Asia-Pasifik kepada ancaman China, Caine mengakui, terdapat pertukaran risiko dalam setiap keputusan penempatan namun beliau yakin Presiden AS, Donald Trump telah menimbang risiko berkaitan dengan teliti.
Beliau berkata, kekuatan tentera nasional digerakkan berdasarkan situasi politik dan keselamatan yang dianggap wajar oleh presiden, dan bukannya semata-mata mengikut kerangka strategik.
-- BERNAMA-ANADOLU