Skip to main content

Dunia

Bekas Peguam Negara AS pertahan pendedahan fail Epstein, akui kesilapan suntingan

FILE - Attorney General Pam Bondi faces questions in the House Judiciary Committee over the Justice Department's handling of files related to convicted sex offender Jeffrey Epstein, at the Capitol in Washington, Feb. 11, 2026. (AP Photo/J. Scott Applewhite, File)
Bondi mengakui berlaku “kesilapan suntingan” dalam dokumen yang didedahkan, susulan kritikan bahawa maklumat penting disembunyikan sementara identiti mangsa pula terdedah. - Gambar fail AP

WASHINGTON: Bekas Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Pam Bondi pada Jumaat mempertahankan tindakan Jabatan Kehakiman dalam mengendalikan fail berkaitan pesalah seks, Jeffrey Epstein.

Dalam masa sama, beliau mengakui berlaku “kesilapan suntingan” dalam dokumen yang didedahkan, susulan kritikan bahawa maklumat penting disembunyikan sementara identiti mangsa pula terdedah.

Bondi memberi keterangan kepada Jawatankuasa Pemantauan Dewan Perwakilan menerusi temu bual bertranskrip, bukan deposisi bersumpah dan dirakam, sekali gus mencetuskan kekecewaan dalam kalangan ahli Demokrat dan mangsa yang mendakwa pentadbiran Presiden Donald Trump tidak mendedahkan rekod penuh kes pemerdagangan seks melibatkan Epstein.

Menurut kenyataan yang disediakan, Bondi berkata, Jabatan Kehakiman di bawah kepimpinannya telah menunjukkan “komitmen tanpa precedent terhadap ketelusan” dengan mengeluarkan hampir tiga juta halaman bahan, termasuk video dan imej.

“Setakat pengetahuan saya, jabatan telah mengeluarkan semua dokumen yang diperlukan di bawah Akta Ketelusan Fail Epstein,” katanya.

Namun, beliau turut mengakui terdapat kelemahan dalam proses tersebut.

“Terdapat kesilapan dalam proses penyuntingan,” katanya merujuk kepada langkah memadam maklumat sensitif atau peribadi. 

“Bagaimanapun, sejak awal lagi, jabatan ini komited terhadap akauntabiliti dan ketelusan.”

Kenyataan itu dibuat ketika Demokrat, mangsa Epstein serta sebahagian ahli Republikan mendakwa pentadbiran Trump cuba menutup keseluruhan rekod kes, walaupun Jabatan Kehakiman menegaskan ia telah mendedahkan semua maklumat yang diwajibkan oleh undang-undang.

Bondi menjadi tumpuan dalam isu ini selepas sebelum ini menyatakan senarai pelanggan Epstein berada di mejanya untuk diteliti. 

Bagaimanapun, Jabatan Kehakiman dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kemudian memaklumkan tiada senarai sedemikian dan tiada rancangan untuk mendedahkan maklumat lanjut.

Dalam kenyataan sama, Bondi menjelaskan, beliau tidak mengetuai keseluruhan proses semakan dan telah menyerahkan penyeliaan kepada timbalannya ketika itu, Todd Blanche, yang kini menjalankan tugas sebagai Peguam Negara.

Akta Ketelusan Fail Epstein mewajibkan Jabatan Kehakiman menyingkirkan nama serta maklumat yang boleh mengenal pasti mangsa sebelum dokumen didedahkan, namun melarang pihak berkuasa melindungi individu berpengaruh semata-mata atas faktor memalukan.

“Cukup dengan penipuan”

Pengkritik mendakwa, jabatan itu gagal memenuhi kedua-dua keperluan tersebut - apabila mendedahkan nama dan gambar mangsa yang sebelum ini tidak dikenali umum, sambil terus menapis maklumat lain yang sepatutnya didedahkan.

Bondi menyatakan rasa simpati terhadap mangsa Epstein, sambil memohon maaf atas penderitaan yang mereka alami akibat perbuatan “raksasa” itu.

Pada masa sama, sekumpulan mangsa berhimpun di luar bilik pendengaran ketika beliau tiba dan menuntut saksi dalam siasatan Epstein memberi keterangan di bawah sumpah dan secara terbuka.

Kontroversi ini terus menghantui Trump sepanjang penggal keduanya. 

Bondi dipecat pada April lalu susulan tekanan terhadap cara beliau mengendalikan fail Epstein, namun kemudiannya dilantik semula sebagai ahli dalam Majlis Sains dan Teknologi presiden.

Jawatankuasa Pemantauan sebelum ini mengundi untuk mengeluarkan sepina terhadap Bondi sebagai sebahagian siasatan, satu tindakan luar biasa oleh parti sendiri terhadap pegawai pentadbiran Presiden.

Namun, Pengerusinya, James Comer kemudian menukar sesi itu kepada temu bual bertranskrip, yang tidak memerlukan keterangan di bawah sumpah atau rakaman video.

Sementara itu, ahli kanan Demokrat, Robert Garcia turut mendakwa kerajaan terus melindungi Trump - yang sebelum ini mempunyai hubungan sosial dengan Epstein selama beberapa tahun sebelum mereka berpisah pada pertengahan 2000-an.

Garcia berkata, Penolong Peguam Negara, Harmeet Dhillon, yang hadir bersama Bondi, beberapa kali menghalang soalan berkaitan penglibatan Presiden dalam kes tersebut.

“Jabatan Kehakiman kini menghalang soalan tentang Presiden Trump, tentang bagaimana fail ini didedahkan dan mengapa ramai mangsa terdedah identiti mereka kepada umum,” katanya kepada pemberita. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement