Skip to main content

Dunia

Bekas Menteri Luar Iran kritik pendekatan AS selepas rundingan gagal

Javad Zarif
Mohammad Javad Zarif (foto), yang merupakan antara tokoh utama di sebalik perjanjian nuklear Iran pada 2015, dilihat masih mempunyai pengaruh dalam wacana diplomatik negara itu walaupun tidak lagi memegang jawatan rasmi dalam pentadbiran semasa. -Gambar fail/Reuters

TEHRAN: Bekas Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif menegaskan bahawa sebarang rundingan dengan Tehran tidak akan membuahkan hasil sekiranya Amerika Syarikat (AS) terus berusaha memaksakan syarat secara sepihak.

Menerusi satu hantaran di platform X pada Sabtu, Mohammad Javad Zarif mengulas kegagalan pusingan rundingan damai di Islamabad, Pakistan, sambil merujuk kenyataan Naib Presiden AS, JD Vance, yang mendakwa Iran memilih untuk tidak menerima tuntutan dikemukakan Washington.

“Tiada rundingan, sekurang-kurangnya dengan Iran, akan berjaya jika ia berdasarkan pendekatan ‘syarat kami atau syarat kamu’. Amerika Syarikat perlu memahami bahawa mereka tidak boleh menetapkan syarat kepada Iran. Masih belum terlambat untuk belajar,” tulisnya.

 

 

Kenyataan itu mencerminkan ketegangan diplomatik yang berterusan susulan kegagalan kedua‑dua pihak mencapai kata sepakat bagi menamatkan konflik yang telah berlarutan selama enam minggu di Asia Barat.

Rundingan di Islamabad berakhir tanpa persetujuan selepas tuntutan utama kedua‑dua pihak, termasuk isu pembukaan semula Selat Hormuz dan penarikan sekatan ekonomi, tidak menemui titik pertemuan.

Mohammad Javad Zarif, yang merupakan antara tokoh utama di sebalik perjanjian nuklear Iran pada 2015, dilihat masih mempunyai pengaruh dalam wacana diplomatik negara itu walaupun tidak lagi memegang jawatan rasmi dalam pentadbiran semasa.

Pemerhati antarabangsa berpandangan kegagalan rundingan berkenaan menambah ketidaktentuan di rantau Asia Barat, khususnya ketika tempoh gencatan senjata sementara dijangka berakhir dalam masa terdekat.

Must Watch Video