LONDON: Sebuah bangunan runtuh sebahagiannya berikutan kebakaran besar berhampiran Stesen Sentral Glasgow di Scotland pada Ahad, memaksa penutupan stesen kereta api paling sibuk di negara itu dan menyebabkan gangguan meluas terhadap perkhidmatan tren, lapor Xinhua yang memetik media British.
Kebakaran meletus di sebuah kedai vape di Union Street di pusat bandar Glasgow dan merebak ke bangunan berhampiran yang kemudian runtuh sebahagiannya ketika anggota bomba memadamkan api, menurut BBC.
Network Rail memaklumkan Stesen Sentral Glasgow ditutup "sehingga diberitahu kelak" dan tidak akan dibuka semula pada pagi Isnin sambil perkhidmatan kecemasan terus menangani insiden tersebut.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, menurut laporan itu. Perkhidmatan kecemasan menggesa orang ramai supaya menjauhi kawasan itu dengan kepungan didirikan di jalan-jalan sekitar dan orang ramai berkumpul untuk melihat kebakaran.
Siasatan punca kebakaran masih dijalankan.
-- BERNAMA-XINHUA