Skip to main content

Dunia

Balendra Shah di ambang dilantik sebagai Perdana Menteri Nepal

Balendra Shah, right, former mayor of Kathmandu Metropolitan City and prime ministerial candidate of the Rastriya Swatantra Party, joins Rabi Lamichhane, left, the party's president, during an election campaign rally in Lalitpur, Nepal, Saturday, Feb. 28, 2026. (AP Photo/Niranjan Shrestha, File)
Kemenangan Shah dianggap simbolik kerana ia menandakan peralihan generasi dalam landskap politik negara itu. - Foto AP

KATHMANDU: Penyanyi rap yang kini menjadi ahli politik Balendra Shah berada di landasan untuk menjadi Perdana Menteri Nepal selepas menewaskan bekas Perdana Menteri KP Sharma Oli dengan majoriti besar dalam pilihan raya umum negara itu.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Nepal, Shah, 35, memperoleh 68,348 undi berbanding 18,734 undi yang diraih Oli, sekali gus menyingkirkan tokoh politik veteran itu dari kubu kuatnya di Jhapa-5.

Keputusan ini hadir selepas pilihan raya pertama Nepal sejak protes besar-besaran yang dipimpin Gen Z pada September 2025, yang menggulingkan kerajaan pimpinan Oli.

Pilihan raya pada Khamis lalu mempertemukan parti-parti tradisional dengan generasi baharu ahli politik yang mendapat sokongan anak muda yang menuntut perubahan.

Parti Shah, Rastriya Swatantra Party (RSP), kini berada di hadapan dengan momentum kukuh dan dijangka meraih kemenangan besar dalam pilihan raya umum.

Media tempatan melaporkan bahawa RSP mengetuai lebih 100 kerusi daripada 165 kerusi yang ditentukan melalui sistem majoriti mudah, dengan trend awal menunjukkan sokongan besar daripada pengundi muda.

Kemenangan Shah dianggap simbolik kerana ia bukan sekadar menamatkan dominasi pemimpin lama seperti Oli, tetapi turut menandakan peralihan generasi dalam landskap politik negara itu.

Dalam keputusan yang dianggap bersejarah, beliau menewaskan Oli di kawasan yang pernah dimenangi pemimpin berusia 74 tahun itu sebanyak enam daripada tujuh pilihan raya sejak 1990.

Lebih dikenali sebagai Balen, Shah merupakan bekas Datuk Bandar Kathmandu dan personaliti hip hop Nepal yang mempunyai pengikut besar khususnya di media sosial.

Lagu-lagunya, termasuk “Balidan”, menjadikannya ikon budaya pop dan suara generasi muda yang marah terhadap rasuah, nepotisme serta sistem politik lama.

Sokongan besar terhadapnya dilonjakkan lagi selepas protes Gen Z 2025 yang tercetus susulan keputusan kerajaan Oli untuk mengharamkan platform media sosial.

Protes tersebut menyebabkan 77 orang terkorban, dan siasatan mendapati arahan tembakan hidup dikeluarkan terhadap penunjuk perasaan yang tidak bersenjata.

RSP turut melonjak kerana janji pembaharuan besar-besaran yang dibentangkan dalam manifestonya, termasuk:

  • Mewujudkan 1.2 juta pekerjaan
  • Mengurangkan penghijrahan tenaga buruh
  • Meningkatkan pendapatan per kapita Nepal daripada USD 1,447 kepada AS$ 3,000 dalam tempoh lima tahun
  • Mengembangkan saiz ekonomi kepada AS$100 bilion
  • Memperluas jaring keselamatan sosial seperti insurans kesihatan untuk rakyat

Manifesto ini disasarkan kepada mereka yang kecewa dengan kadar pengangguran tinggi dan gaji rendah yang memaksa berjuta-juta rakyat Nepal bekerja di luar negara.

Dengan RSP kini berada di ambang membentuk kerajaan, setelah memenangi banyak kerusi dan mendahului di lebih seratus kawasan, Nepal dijangka memasuki era politik baharu yang dibentuk oleh generasi muda dan agenda pembaharuan radikal yang dijanjikan Shah.

Pilihan raya ini turut mencatat kira-kira 60 peratus kadar keluar mengundi, termasuk 800,000 pengundi kali pertama yang menjadi blok penting dalam keputusan kali ini.

Jika keputusan rasmi akhir dalam beberapa hari ini mengesahkan kemenangan RSP, Balendra Shah bakal mencatat sejarah sebagai perdana menteri pertama Nepal yang lahir daripada budaya pop, pengaruh media sosial, dan kuasa politik anak muda.

 

 

Must Watch Video