Skip to main content

Dunia

Australia pesan bekalan bahan api kecemasan dari AS buat pertama kali dalam beberapa dekad

"Out of order" signs cover fuel pumps at a petrol station in Sydney, Australia, March 19, 2026. REUTERS/Hollie Adams/File Photo
Canberra kini beralih kepada Washington apabila negara Asia yang biasanya membekalkan bahan api bertapis kepada Australia tidak dapat memenuhi permintaan. - Gambar/ Reuters

ISTANBUL: Australia memesan bekalan bahan api kecemasan dari Amerika Syarikat (AS) buat pertama kali dalam beberapa dekad, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan pada Jumaat.

Canberra kini beralih kepada Washington apabila negara Asia yang biasanya membekalkan bahan api bertapis kepada Australia tidak dapat memenuhi permintaan, menurut Sky News Australia.

Awal minggu ini, enam kapal kargo minyak yang menuju ke Australia dari Malaysia, Singapura dan Korea Selatan dibatalkan.

Perdana Menteri Anthony Albanese dan Menteri Tenaga Chris Bowen berkata China akan menggantikan enam kapal tangki itu bersama “sumber alternatif.”

Menurut Lurion De Mello dari Pusat Penyelidikan Transformasi Pasaran Tenaga Universiti Macquarie, tiga kapal lain sedang dalam pelayaran ke Australia dari AS.

Secara berasingan, Malaysia sedang meneroka potensi tenaga nuklear sebagai respons strategik terhadap krisis tenaga global, menurut laporan Malay Mail.

Di Filipina, kumpulan pengangkutan mengadakan mogok pada Khamis dan Jumaat bagi mendesak kerajaan memberikan bantuan susulan kenaikan berterusan kos bahan api, menurut Agensi Berita Filipina.

Ketegangan serantau terus meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari, meragut nyawa lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Agung Iran ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Tehran membalas dengan beberapa siri serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan kematian dan kerosakan infrastruktur serta mengganggu pasaran global dan penerbangan.

Laluan di Selat Hormuz terjejas teruk sejak awal Mac. Kira-kira 20 juta tong minyak biasanya melalui laluan ini setiap hari dan gangguan meningkatkan kos penghantaran serta mendorong kenaikan harga tenaga global.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video