Skip to main content

Dunia

Australia kekal berteka-teki mengenai laporan hantar tentera ke Asia Barat

Australian Deputy Prime Minister and Minister for Defense, Richard Marles speaks during a press conference at the Australian embassy in Jakarta, Indonesia, March 12, 2026. REUTERS/Willy Kurniawan
Marles tidak menjawab secara langsung soalan berhubung laporan media bahawa Rejimen Perkhidmatan Udara Khas (SAS) telah ditempatkan di Pangkalan Udara Al Minhad di UAE. - Gambar Reuters

ISTANBUL: Australia memilih untuk terus berteka-teki berhubung laporan mengenai penghantaran tenteranya ke Asia Barat ketika konflik yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran masih berterusan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Walaupun kerajaan memaklumkan bahawa ia telah memenuhi permintaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan menghantar sebuah pesawat tentera, Canberra enggan mengesahkan sama ada anggota tentera turut dikerahkan.

“Kami tidak mengulas mengenai pergerakan pasukan khas kami, namun biar saya jelaskan: kami tidak menempatkan anggota di Iran, dan perkara itu telah kami jelaskan sejak awal konflik ini,” kata Menteri Pertahanan, Richard Marles kepada pemberita pada Jumaat.

Ketegangan di Asia Barat semakin memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb. 

Tehran kemudian bertindak balas dengan menyasarkan pangkalan tentera AS dan aset lain di rantau Teluk.

Marles tidak menjawab secara langsung soalan berhubung laporan media bahawa Rejimen Perkhidmatan Udara Khas (SAS) telah ditempatkan di Pangkalan Udara Al Minhad di UAE.

“Pendirian kerajaan adalah untuk memberikan sokongan kepada negara-negara Teluk. Kami telah memenuhi permintaan Emiriah Arab Bersatu; pesawat E-7 Wedgetail kami kini berada di rantau itu bagi memberikan sokongan berkenaan, namun kami tidak menempatkan anggota di darat di Iran,” katanya.

Tabloid Australia Herald Sun melaporkan pada Khamis bahawa satu kontinjen kecil terdiri daripada kira-kira 90 anggota SAS dihantar ke rantau Asia Barat dua minggu lalu.

Menurut laporan itu, anggota berkenaan berkemungkinan besar dihantar ke Pangkalan Udara Al Minhad di selatan Dubai.

Menteri Komunikasi, Anika Wells juga tidak menolak laporan bahawa Australia telah menghantar anggota pasukan khas elit ke Asia Barat apabila ditanya dalam program ABC News Breakfast pada Jumaat.

“Saya mahu meyakinkan rakyat Australia bahawa kami tidak terlibat dalam tindakan ofensif di luar negara di Iran,” katanya.

“Sudah tentu, butiran khusus mengenai bila dan di mana aset dikerahkan di rantau itu, seperti yang anda boleh jangkakan adalah hal operasi dan saya tidak boleh mengulas mengenainya,” kata Wells.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video